Sejak kebelakangan ini, beberapa selebriti tampil meluahkan rasa kecewa terhadap sikap netizen yang mudah menjatuhkan hukuman dan mengecam setiap tindakan mereka dalam industri seni tanah air.
Bukan sekadar menghukum, ada juga yang berani melemparkan tuduhan tidak berasas malah, menabur fitnah yang melampau demi meraih sokongan daripada pengguna media sosial yang lain.
Baru-baru ini, dua personaliti televisyen iaitu Uyaina Arshad dan Riena Diana turut mendedahkan mereka melalui perkara yang sama sehingga berfikir tindakan undang-undang adalah jalan penyelesaian terbaik untuk dijadikan pengajaran.
Susulan itu, kedua-dua selebriti tersebut memaklumkan bahawa segala komen negatif yang diterima telah pun lesap selepas mereka bersuara dan mendedahkan satu per satu identiti individu yang mengecam mereka.
Dalam masa sama, Uyaina menyimpulkan bahawa sesetengah netizen berani bertindak sedemikian kerana tahu setiap selebriti telah dididik dan dinasihatkan untuk menjadi kental dengan segala tohmahan.
“Jadi artis atau public figure memang kena terima saja ke kalau subjek itu membuli dan mendera? Dan akan dilabel koyak atau melatah kalau kita memberi reaksi?
“Memang tidak salah nasihat seperti ini. Dan ada banyak bagusnya untuk pedulikan demi kesejahteraan mental.
“Saya telah mengamalkan perkara itu sepanjang karier saya. Itu satu kebahagiaan. Tapi ini jugalah yang jadi pembuka ruang kepada puak-puak kaki mengumpat ini,” katanya.
Uyaina bagaimanapun turut meluahkan rasa kesal apabila ada juga pihak yang cuba menokok tambah cerita demi menjatuhkan reputasinya sekali gus mendorongnya untuk berdepan dengan individu yang menabur fitnah tersebut.
“Bila saya dah bersuara, saya minta dia bagi nombor telefon dan maklumat mengenai suaminya, terus padam komen. Takut. Lepas ini, jom normalisasikan untuk bersemuka. Tengok berani ke tidak.
“Itu belum saya ambil tindakan undang-undang lagi. Saya boleh buat untuk pelbagai dakwaan, fitnah, buli siber dan gangguan. Malah, saya boleh cari mereka terus berdasarkan nama pengguna dan emel. Lengkap tinggal mana semua saya boleh cari,” luahnya.
Pun begitu, Uyaina optimis berpendapat setiap individu terutamanya selebriti berhak untuk mengambil tindakan terhadap netizen yang mengamalkan buli siber demi memberi kesedaran kepada umum.
Turut terpanggil untuk memberi respons mengenai isu ini, pelakon, Sasqia Dahuri berpendapat setiap individu yang melakukan perkara negatif perlu bertanggungjawab untuk berdepan dengan akibat yang menanti
Sasqia juga menangkis tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan keputusan selebriti mahu mengambil tindakan undang-undang adalah sekadar ugutan.
“Setiap individu mempunyai kesusahan tersendiri. Penerimaan seseorang terhadap buli siber ini juga berbeza berdasarkan tahap kestabilan mental masing-masing. Ada sesetengah orang boleh mengendahkannya, ada juga yang tidak.
“Sekiranya mereka mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara itu, itu adalah berdasarkan apa yang dirinya rasa terbaik untuk mereka. Kita tidak boleh anggap itu sebagai satu ugutan atau menghakimi mereka.
“Tidak salah untuk menegur, tetapi banyak cara lain yang boleh kita buat tanpa menjatuhkan maruah orang lain. Seeloknya tegur secara berhemah dan privasi,” katanya.
Ditanya apakah penyelesaian terbaik untuk menghentikan perkara ini dari terus berleluasa, pelakon filem Misteri Dilaila itu menyarankan setiap individu perlu menggunakan media sosial dengan baik tanpa menyebarkan sebarang negativiti.
Malah, dia juga berharap setiap individu berfikir secara waras sebelum membuat sesuatu perkara agar tidak menyakitkan hati antara satu sama lain.
“Meskipun yang dihentam itu adalah dalam kalangan artis, mereka juga mempunyai perasaan dan limit kesabaran. Mereka juga manusia biasa. Jadi berbuat baiklah dengan semua orang.
“Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri. Cuba letakkan diri kita dalam kasut mereka,” katanya.-UTUSAN