LONDON: Arsenal mengesahkan perpindahan kontroversi penyerang Chelsea, Noni Madueke dalam satu perjanjian yang dilaporkan bernilai 48 juta pound (RM273 juta) kelmarin.
Madueke menandatangani kontrak selama lima tahun bersama The Gunners dan berpindah ke Stadium Emirates meskipun menerima bantahan daripada penyokong Arsenal.
Pemain berusia 23 tahun itu akan memberikan saingan kepada Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli di bahagian sayap dalam pasukan kendalian Mikel Arteta.
Perpindahan Madueke dari Chelsea ke Arsenal meningkat kepada 52 juta pound (RM296 juta) dengan tambahan berdasarkan prestasi telah mencetuskan kritikan hebat daripada penyokong yang percaya dia tidak bernilai dengan harga tersebut.
Satu petisyen bertajuk ‘Tidak kepada Madueke’ mengumpul lebih daripada 5,000 tandatangan daripada peminat Arsenal manakala mural di luar Stadium Emirates telah diconteng dengan slogan ‘Arteta keluar’.
Madueke meninggalkan kempen Piala Dunia Kelab bersama Chelsea di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu untuk menjalani pemeriksaan perubatan di Arsenal dan melengkapkan perpindahan tersebut.
“Noni adalah pemain muda yang menarik dan bertenaga dengan prestasi serta statistik yang konsisten tinggi sejak beberapa musim kebelakangan ini. Dia merupakan salah satu pemain sayap paling berbakat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Pada usia 23 tahun, Noni sudah mempunyai pengalaman dalam bola sepak kelab dan antarabangsa serta mengenali EPL dengan baik. Selepas melihat sendiri kualiti persembahannya sebelum ini, kami sangat teruja dengan kehadirannya.
“Noni akan menyertai kumpulan ini bersama beberapa rakan sepasukan England yang sudah dikenali. Dia akan segera merasa seperti di rumah sendiri. Kehadirannya akan memperkuatkan skuad kami. Kami semua teruja dengan kehadirannya,” kata Arteta. – AFP