LA PLAGNE TARENTAISE: Thymen Arensman muncul wira di La Plagne apabila menjuarai peringkat ke-19 Tour de France 2025 dalam situasi mendebarkan, sekali gus menghadiahkan kemenangan simbolik buat pasukan Ineos, hari ini.
Pelumba Belanda berusia 25 tahun itu hanya menewaskan Jonas Vingegaard dan juara dunia, Tadej Pogacar dengan kelebihan dua saat dalam perlumbaan hujan yang turut dipendekkan akibat jangkitan ternakan di laluan asal.
Arensman yang turut menang di Superbagneres minggu lalu rebah ke tanah sambil menangis di garisan penamat selepas mempertahankan kelebihan dalam pendakian terakhir penuh tekanan.
Dengan kemenangan ini, Ineos kembali menunjukkan taring di bawah pengendalian semula Dave Brailsford, tatkala pelumba lain lebih sibuk mengekori gerakan pendahulu keseluruhan.
Sementara itu, Pogacar yang kini menguasai jersi kuning hampir pasti menamatkan Tour kali ini dengan gelaran juara buat kali keempat apabila mengekalkan kelebihan empat minit 24 saat ke atas Vingegaard.
“Saya cuma ikut rentak sendiri dan biar Arensman pergi, saya memang nak menang tapi lebih penting untuk bertahan,” kata Pogacar.
Pelumba UAE Team Emirates itu sebelum ini sudah menang lima peringkat termasuk di Rouen, Mur de Bretagne, Hautacam dan Peyragudes, namun mula memperlahankan rentak ketika melalui Alps.
Pelumba muda Jerman, Florian Lipowitz pula terus menyerlah apabila mengekalkan kedudukan ketiga keseluruhan dan mengetuai kategori bawah 25 tahun dalam penampilan sulungnya bersama Red Bull Bora. – AGENSI