NILAI: Negeri Sembilan Antlers membuktikan status mereka selaku pencabar utama apabila muncul juara Grand Prix (GP) Negeri Sembilan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 selepas menundukkan Johor Tigris di pentas final yang berlangsung di Stadium N9 Arena, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, skuad Antlers yang dibarisi Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan pemain berpengalaman, Zulefendi Sumari (apit kiri), tampil garang sejak set pertama lagi dengan mempamerkan aksi bertenaga untuk menggamatkan ribuan penyokong yang hadir.
Servis padu Haziq nyata menjadi senjata utama Antlers apabila menyukarkan benteng pertahanan lawan, manakala ketenangan Zulefendi selaku pengumpan jelas memberi ruang buat Hafizul melancarkan libasan berbisa yang mematikan langkah Tigris.
Skuad Johor Tigris yang mempertaruhkan Hairul Hazizi Hadzir (tekong), Teerapat Deechaoren, Mohd Syahmi Syazwan (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) dilihat gagal menyaingi tempo permainan Antlers sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan 7-15, 9-15.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan Antlers meraih 32 mata penuh selaku juara GP Negeri Sembilan, sekali gus menebus kekecewaan di GP Terengganu sebelum ini.
Terdahulu, skrip sama turut dilakar Antlers ketika aksi separuh akhir semalam apabila mereka mudah menundukkan Perak Bison tanpa memberi peluang lawan mengutip lebih daripada sembilan mata.
Sementara itu, PDRM Defenders memastikan kedudukan tempat ketiga menjadi milik mereka selepas menewaskan Perak Bison dalam aksi penentuan tempat ketiga menerusi kemenangan ‘straight set’ 15-8, 15-7.
Saingan seterusnya STL 2025 akan bersambung di GP Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 9 hingga 13 Julai ini.-UTUSAN