RIO DE JANEIRO: Anak kepada jurulatih skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti, kini bergelar ketua jurulatih baharu Botafogo selepas kelab berpangkalan di Rio de Janeiro itu mengumumkan pelantikan Davide Ancelotti, hari ini.
Pelantikan itu menandakan permulaan tugas sulung sebagai ketua jurulatih buat Davide yang sebelum ini dikenali sebagai pembantu tetap bapanya di kelab-kelab utama Eropah.
Pengendali berusia 35 tahun itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di bawah bapa beliau di Real Madrid, Everton, Napoli dan Bayern Munich.
Kontrak beliau bersama Botafogo akan berjalan sehingga penghujung musim 2026.
Ancelotti Jr. sebelum ini berpindah ke Brazil untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, namun telah dilepaskan daripada tanggungjawab itu bagi membolehkan beliau mengambil alih Botafogo.
Beliau menggantikan Renato Paiva yang dipecat susulan kegagalan mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab baru-baru ini.
Carlo Ancelotti, yang diumumkan sebagai ketua jurulatih Brazil pada 12 Mei lalu, meninggalkan Real Madrid pada akhir musim lalu untuk memulakan era baharu bersama juara dunia lima kali itu.
Carlo juga menjadi jurulatih asing pertama membimbing Brazil sejak 1965, sekali gus menambah keunikan dinasti Ancelotti dalam sejarah bola sepak dunia. – AGENSI