LONDON: Carlos Alcaraz mempamerkan aksi penuh dominasi apabila menundukkan Cameron Norrie 6-2, 6-3, 6-3 untuk mara ke separuh akhir Wimbledon buat tahun ketiga berturut-turut.
Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu hanya mengambil masa 99 minit di gelanggang Centre Court, menghentikan cabaran wakil tuan rumah menerusi 39 pukulan kemenangan.
Alcaraz bakal membuat perhitungan menentang jaguh Amerika Syarikat (AS) yang juga pilihan kelima, Taylor Fritz bagi menempah tiket ke final.
“Ia sangat istimewa dapat ke separuh akhir sekali lagi di Wimbledon.
“Taylor bermain cemerlang musim ini di atas rumput, dan saya perlu bersedia untuk pertarungan itu,” kata Alcaraz.
Alcaraz kini mencatat 23 kemenangan berturut-turut sejak tewas kepada Holger Rune di final Barcelona pada April lalu, termasuk menjuarai Terbuka Perancis, Masters Rome dan Monte Carlo.
Beliau juga mencatat 34 kemenangan daripada 37 perlawanan di atas rumput dan belum tewas di Wimbledon sejak 2022.
Dengan Jannik Sinner bergelut kecederaan siku, Alcaraz kini dilihat sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraannya.
Pemain berusia 22 tahun itu kini memburu gelaran Grand Slam keenam dan mahu menjadi pemain Sepanyol kedua selepas Rafael Nadal yang mara ke separuh akhir Wimbledon sekurang-kurangnya tiga kali. – AGENSI