Aaron-Wooi Yik naib juara Terbuka China

Aaron-Wooi Yik naib juara Terbuka China

SELAKU naib juara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$70,000 (RM295,505).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam final Terbuka China hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, pasangan negara itu tumbang 15-22, 14-21 dalam masa 35 minit kepada gandingan Indonesia yang kini berada di ranking ke-210 dunia.

Fajar-Shohibul hanya baharu digandingkan minggu lalu di Terbuka Jepun dan ini merupakan pertemuan pertama mereka menentang Aaron-Wooi Yik di pentas antarabangsa.

Kekalahan ini menjadikan Terbuka China sebagai kejohanan Super 1000 keenam yang gagal dimenangi Aaron-Wooi Yik selepas bergelar naib juara dalam lima edisi terdahulu.

Sebelum ini mereka turut kecundang di final All England 2019, Terbuka Thailand 2020 (ketika itu berstatus Super 1000), All England 2023, Indonesia 2023 dan China 2023.

Walaupun telah merangkul tiga kejuaraan musim ini di Terbuka Thailand, Kejohanan Asia dan Terbuka Singapura, Aaron-Wooi Yik masih buntu untuk meraih gelaran Super 1000 pertama.

Menariknya, Fajar dan Shohibul merupakan anak didik Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara, Herry Iman Pierngadi ketika beliau mengendalikan skuad Indonesia di bawah Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Sebagai naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah AS$70,000 (RM295,505), manakala Fajar-Shohibul meraih AS$148,000 (RM624,782) selaku juara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN