PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Terbuka China selepas menewaskan pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-17, 21-18, sebentar tadi.
Aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu menyaksikan beregu No. 2 dunia itu hanya mengambil masa 35 minit untuk memastikan kemenangan.
Kemenangan itu turut memadam duka Juara Asia 2025 itu selepas tersungkur di aksi pusingan pertama Terbuka Jepun kepada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, minggu lalu.
Mereka bakal membuat perhitungan sesama sendiri menentang sama ada Nur Mohd Azryn Ayub-Tan Wee Kiong atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam suku akhir esok.
Beregu profesional negara, Yew Sin-Ee Yi pula meneruskan rentak positif apabila mengejutkan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam masa 30 minit.
Pasangan No. 28 dunia itu tidak memberi ruang kepada lawan No. 13 dunia dengan kemenangan straight set 21-16, 21-16.
Kejayaan itu menjadi pembakar semangat menjelang pertemuan getir menentang beregu India No. 12 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, esok.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terpaksa akur selepas tunduk kepada pilihan utama kejohanan dari China.
Gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping mempamerkan ketenangan di saat genting untuk menang 21-11, 24-26, 21-9 dalam masa 59 minit.
Kekalahan itu menamatkan kemaraan mereka di pusingan kedua meskipun sempat mencuri satu set secara dramatik. – UTUSAN