PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di landasan tepat untuk memburu gelaran sulung Super 1,000 selepas melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang kini kembali menggalas tanggungjawab sebagai beregu No. 1 Malaysia menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-16 dalam masa 33 minit pada suku akhir.
Esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu ke-12 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India pada separuh akhir.
Bekas beregu No. 1 dunia itu menundukkan gandingan profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 18-21, 14-21 dalam masa 40 minit.
Bertemu Rankireddy-Shetty, Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan psikologi jika rekod pertemuan 10-3 diambil kira.
Beregu Malaysia itu belum pernah memenangi kejohanan berstatus Super 1,000 dalam Jelajah Dunia dan mereka kini berpeluang cerah untuk berbuat demikian menjelang separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, esok.
Wooi Yik ketika ditemu bual wakil BWF selepas perlawanan berkata, tidak mudah sebenarnya setiap kali perlu bertemu rakan seperjuangan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
“Saya tidak fikir banyak, cuma pada awal permainan kami lambat untuk menyesuaikan diri dengan permainan,” katanya.
Sementara itu, Aaron pula mengakui perubahan strategi sewaktu detik penting pada perlawanan tadi telah membantu mereka menewaskan Wei Chong-Kai Wun.
“Kami melakukan perubahan pada detik penting perlawanan jika dibandingkan sewaktu latihan.
“Kami saling mengenali permainan antara satu sama lain, siapa lebih berani dia yang menang, saya gembira kami berjaya mendapatkan kembali rentak permainan kami,” katanya. – UTUSAN