MELAKA: Sebuah gudang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai yang musnah 80 peratus dalam kebakaran malam tadi mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Menurut Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hafidzatullah Rashid yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, kejadian dilaporkan berlaku pukul 9.45 malam dan pasukan bomba pertama tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan gudang kekal berkeluasan 200×300 kaki persegi.
“Berdasarkan laporan Komander Operasi, api telah merebak dengan cepat dan memusnahkan hampir 80 peratus struktur gudang tersebut dan operasi pemadaman segera digerakkan bagi mengelakkan api terus merebak ke premis berhampiran.
“Operasi pemadaman membabitkan seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, BBP Cheng dan BBP Melaka Tengah dengan bantuan beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, water tanker serta EMRS,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, bomba turut menerima bantuan daripada beberapa agensi lain termasuk polis, TNB dan RELA untuk memadam kebakaran yang jarak lokasi kejadian dianggarkan sekitar lima kilometer dari balai utama.
Menurut Mohd. Hafidzatullah, operasi pemadaman diketuai oleh Pegawai Kanan Bomba, Mohd. Fazzil Yusof dan dikawal sepenuhnya pada pukul 1.13 pagi sebelum tamat sepenuhnya pada pukul 6.08 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan tiada sebarang masalah operasi timbul semasa misi pemadaman dijalankan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik JBPM,” katanya. – UTUSAN