Wales halangan terakhir Speedy Tigers

Wales halangan terakhir Speedy Tigers

Pemain tengah negara, Fitri Saari meraikan kejayaannya menjaringkan gol ketika menewaskan Afrika Selatan 4-2 dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan Piala Negara-Negara di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian skuad hoki negara untuk menamatkan kempen Piala Negara-Negara di tempat kelima terbaik hampir direalisasikan apabila Speedy Tigers menewaskan Afrika Selatan 4-2 dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang berusaha untuk menamatkan kempen kejohanan dalam lima pasukan terbaik.

“Saya beri kredit kepada pemain-pemain kami. Selepas kekecewaan sebelum ini, apabila kami tidak layak ke separuh akhir disebabkan perbezaan jaringan, memang sukar untuk bangkit semula.

“Namun, kami gembira apabila pemain-pemain beraksi dengan bersungguh-sungguh. Kami mahukan tiga mata, dan kami dapat tiga mata,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini hari ini.

Speedy Tigers dijadual menentang Wales dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam selepas skuad kendalian Daniel Newcombe itu menewaskan Jepun 6-4.

Pertahanan negara, Syed Syafiq Syed Cholan meletakkan Speedy Tigers di depan apabila menjaringkan gol pada minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti namun kedudukan itu tidak tahan lama apabila Angelo Walstroom menyamakan kedudukan hasil gol padang pada minit ke-30.

Tujuh minit kemudian, tuan rumah kembali berada di depan hasil gol padang Syafiq Hassan selepas menerima hantaran daripada Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal manakala gol ketiga Speedy Tigers dijaringkan oleh Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-40.

Afrika Selatan cuba merapatkan kedudukan apabila Carlo Mentoor meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-51 sebelum pemain tengah negara, Fitri Saari menjaringkan gol keempat Speedy Tigers dua minit kemudian.

Penjaga gol pasukan negara, Muhammad Hafizuddin Othman dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN