Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalas amanah menerajui dan menjayakan inisiatif terbaharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 menerusi bidang kecerdasan buatan dan keselamatan siber.
Peluncuran inisiatif terbaharu TVET Negara 2025 dan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi majlis perasmian Hari TVET Negara 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa komited dan menzahirkan peranan besar dalam menjayakan aspirasi TVET Negara menerusi FAIX.
Katanya, peranan UTeM bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET Negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan dan keselamatan siber semata-mata malahan lebih daripada itu.
“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.
“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi, dan sistem pintar, “ujarnya. – UTUSAN