PETALING JAYA: Penubuhan ‘payung besar’ orang Melayu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa untuk membunuh UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, Dr. Mahathir cuba untuk menipu orang UMNO sekali lagi dengan mengajak ahli menyertai gerakan tersebut.
Kata beliau, bekas Perdana Menteri itu hanya memanggil ahli-ahli UMNO memasuki ‘payung besar’ itu tetapi tetap menolak UMNO.
“Dia (Mahathir) tahu UMNO tidak akan masuk lubang biawak kali kedua, itu jarum halus untuk bunuh UMNO. Maksudnya, sokong kami, tidak perlu keluar UMNO tetapi jangan beri undi kepada UMNO.
“Tun M (Mahathir) tahu dia tidak akan berjaya. Payung itu dokongan parti politik, apabila asasnya politik akan ada tikam belakang sesama sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kelmarin, Dr. Mahathir menubuhkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menyatukan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar sebagai usaha mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan Melayu di negara ini.
Inisiatif itu sebagai langkah untuk mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.
Menurut beliau, penubuhan gerakan ini tercetus daripada kesedaran mendalam terhadap pelbagai masalah yang sedang membelenggu masyarakat Melayu, yang didakwa tidak lagi mendapat pembelaan sewajarnya dalam sistem pentadbiran negara hari ini.
Dr. Mahathir sebelum ini pernah dikaitkan dengan cubaan untuk mengharamkan UMNO ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menerusi pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Anwar berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Presiden UMNO turut menjadi sasaran kerana mengetahui tentang perancangan untuk mengharamkan parti tersebut.
Katanya, beliau tidak bersetuju dengan pengharaman UMNO walaupun ketika itu sedang berlawan dengan parti tersebut.
“UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian,” katanya pada Julai 2023. – UTUSAN










