PETALING JAYA: Timor-Leste mahu menjadi penyumbang positif kepada keamanan dan kestabilan serantau apabila menyertai ASEAN sepenuhnya kelak.
Komitmen itu dinyatakan Presiden negara itu, José Ramos-Horta yang turut berkata, Timor-Leste ingin kekal sebagai sebuah negara yang aman, penuh ketenangan serta bersikap toleransi di tengah-tengah pelbagai cabaran serantau.
Beliau turut mengakui ASEAN berdepan pelbagai isu kompleks termasuk krisis berpanjangan di Myanmar yang disifatkannya sebagai sangat tragis.
“Saya berharap agar ASEAN dapat memperbaharui usahanya dalam mencari penyelesaian damai, melalui dialog inklusif antara semua pihak, termasuk tentera Myanmar, kumpulan etnik bersenjata, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan pihak pembangkang.
“Sudah tiba masa semua pihak duduk semeja tanpa prasyarat dengan keberanian dan keikhlasan untuk menghentikan konflik yang sudah berlarutan lebih 50 tahun,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Taylor’s University hari ini.
Timor-Leste bakal menjadi anggota tetap ASEAN Ke-11 menjelang Oktober ini.
Selaku Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kesemua negara serantau telah mempertimbang penyertaan tersebut dengan mengambil kira komitmen Timor-Leste dalam memenuhi segala syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, Ramos-Horta berkata, ASEAN sebagai jambatan damai tidak boleh terjebak dalam pengaruh atau manipulasi mana-mana kuasa besar, sebaliknya perlu kekal berkecuali dan menjadi penghubung yang tulen.
“Jika ASEAN dapat berperanan sebagai pendamai sejagat, saya percaya satu hari nanti ia benar-benar layak menerima Hadiah Nobel Keamanan,” katanya.
Terdahulu, Ramos-Horta diumumkan sebagai Profesor Adjung Kehormat bagi program pengajian Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) di universiti tersebut.
Penerima Anugerah Nobel Keamanan itu membawa pengalaman luas dalam kepemimpinan politik, diplomasi dan hal ehwal global. – UTUSAN