Tiada pengesahan rasmi PBT bunyi misteri - Exco

Tiada pengesahan rasmi PBT bunyi misteri – Exco

SUEE Lim (tengah) merasmian program itu  di Parit 7 Baroh, Sekinchan, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Misteri bunyi kuat seakan-akan letupan yang didengari penduduk di sekitar Shah Alam bulan lalu belum mendapat sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya tidak menerima maklumat atau maklum balas konkrit daripada PBT berkaitan gangguan itu setakat ini.

Jelasnya, beliau memahami kebimbangan penduduk yang terkesan dengan keadaan itu biarpun tiada aduan lanjut diterima selepas kejadian berkenaan tersebar.

“Setakat ini PBT tiada beri sebarang maklum balas secara rasmi mengenai butiran lanjut bunyi-bunyi misteri itu.

“Kita akan cuba beri jawapan sebaik saja terima maklumat sahih dan akan umumkan kepada pihak media termasuk orang ramai ,” katanya pada program Sejati Madani Sewaan ATV Pelancongan di Parit 7 Baroh, Sekinchan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 23 Mei lalu melaporkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah membuat siasatan insiden bunyi misteri itu yang berlaku pada malam hingga awal pagi.

Kerajaan negeri memandang serius kejadian tular itu yang boleh menyebabkan kacau ganggu atau ketenteraman rutin harian penduduk.

Selain itu, terdapat laporan menyatakan penduduk mendengar bunyi letupan dan ada juga mengaitkannya dengan UFO (objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim turut mengambil maklum berhubung perkara itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut. 

Dalam pada itu, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan turut berseloroh mengenai keadaan di Sekinchan turut terkenal dengan ‘bau’ tersendiri sebagai identiti kawasan nelayan.

“Bunyi tiada di Sekinchan, tapi bau dia ada, sebab bila masuk sekejap pun bau dah sampai, kalau tak ada bau itu, kita tak tahu dah sampai Sekinchan.

“Orang tanya kenapa tak buang bau tu? Saya kata jangan sebab ini identiti kita, malah tak jejaskan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN