SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya empat jalan utama di sekitar bandar raya ini ditutup dan 198 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Seksyen 16 dan Kampung Budiman.
Menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Seksyen 19, Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23, Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan.
Jalan tersebut dilimpahi air susulan hujan berterusan dan lebat sejak petang semalam.
”Berikutan hujan lebat yang turun di Shah Alam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup sepenuhnya jalan-jalan tersebut akibat kenaikan air yang tinggi.
“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif bagi keselamatan,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, terdapatx dua PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16 yang menerima 129 mangsa dari 37 keluarga.
Di PPS kedua iaitu Masjid Al Falah Kampung Budiman, Seksyen U14 pula menempatkan 69 mangsa dari 20 keluarga.
Tinjauan paras air pula mendapat Sungai Bakul di Kampung Budiman masih berada di paras bahaya sejak pagi tadi dengan catatan bacaan 8.28 meter (m).
Bacaan paras air di Sungai Damansara dekat Batu Tiga mencatatkan paras bahaya amaran iaitu 5.43m, namun bacaan di Taman Tun Dr. Ismail Jaya (TTDI Jaya) pula berada di tahap 7.13m iaitu berhati-hati. – UTUSAN










