Swiatek mara ke suku akhir Terbuka Bad Homburg

Swiatek mara ke suku akhir Terbuka Bad Homburg

IGA SWIATEK - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bad Homburg, JERMAN: Pemain tenis nombor lapan dunia, Iga Swiatek memulakan musim gelanggang rumput 2025 dengan kemenangan ke atas bekas bintang No. 1 dunia, Victoria Azarenka untuk mara ke peringkat suku akhir Terbuka Bad Homburg.

Dalam perlawanan di atas gelanggang rumput pertamanya sejak tewas di pusingan ketiga Wimbledon tahun lalu dan juga aksi pertamanya setelah kalah di separuh akhir Terbuka Perancis, Swiatek menewaskan Azarenka 6-4, 6-4, kelmarin.

Itu merupakan perlawanan pertama Swiatek dalam kejohanan tersebut, setelah menerima bye pada pusingan pembukaan selaku pilihan keempat.

“Beberapa permainan pertama, saya rasa saya bermain dengan baik dan saya ada peluang untuk mematahkan servisnya tetapi saya tidak berjaya.

“Saya mungkin kurang intensiti selepas itu tetapi saya cuba untuk teruskan dengan apa yang saya tahu saya boleh lakukan dan pada akhirnya, ia adalah satu perlawanan yang hebat.

“Ini adalah perlawanan pertama saya di gelanggang rumput tahun ini, sebenarnya mendapat bye dalam kejohanan seperti ini tidak selalunya bagus kerana saya mahu bermain di gelanggang rumput sebanyak mungkin sekarang tetapi saya sangat gembira dapat mara ke pusingan seterusnya.” kata Swiatek.

Kejayaan tersebut amat bermakna bagi juara Grand Slam lima kali itu kerana ia merupakan kemenangan ke-300 di peringkat jelajah dalam kerjayanya.

Pemain dari Poland itu belum memenangi sebarang gelaran sejak menjuarai Terbuka Perancis buat kali keempat pada Jun 2024 dan juga belum mara ke mana-mana final kejohanan peringkat jelajah sejak itu.

Swiatek kini berada pada kedudukan ranking terendahnya sejak 2021 dan akan menjadi pilihan kelapan di Wimbledon, iaitu kedudukan pilihan paling rendah di kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Perancis 2021. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN