SEKOLAH Sukan Bukit Jalil terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan yang melahirkan pelajar berprestasi tinggi, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam pelbagai sukan.
Dengan gabungan latihan intensif dan pendidikan berkualiti, sekolah tersebut menjadi platform utama untuk mencungkil bakat sukan generasi muda yang mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.
Seorang pelajar cemerlang prauniversiti Aliran Sains 1 yang juga merupakan penerima Anugerah All Round Student’s Award (ARSA), Muhammad Aiman Najmi Mohd. Anuar, 20,
Atlet olahraga itu juga berkongsi bagaimana dia mengurus masa untuk memastikan keseimbangan antara sukan dan akademik.
Antara pencapaian membanggakan Muhammad Aiman termasuk mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Olahraga U20 2024 di Lima, Peru, serta Kejohanan Olahraga U20 Asia 2024 di Qatar, selain turut beraksi di Sukma XXI 2024 yang diadakan di Sarawak.
Dia berjaya meraih emas dalam acara 4×400 meter (m) lelaki, mencatatkan rekod baharu kejohanan (RBK), serta emas dalam acara 4 x 400 m campuran dan perak dalam 400 m lelaki berpagar.
Selain kejayaan di pentas sukan, dia memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang cemerlang iaitu 3.94.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada cikgu, ibu bapa, jurulatih, serta rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya sepanjang perjalanan ini.
“Saya menjalani rutin seperti atlet pelajar lain. Pada waktu pagi, saya menghadiri sesi latihan, kemudian ke kelas, diikuti dengan sesi latihan petang. Pada waktu malam, barulah saya meluangkan masa untuk belajar. Ia mencabar, tetapi dengan disiplin dan sokongan sekeliling, saya mampu mengatasinya,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Gemilang, Sekolah Sukan Bukit Jalil 2024, baru-baru ini.
Anak keempat daripada enam beradik itu turut merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Awam, selain berusaha untuk melayakkan diri ke temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
Seorang lagi pelajar Tan Pei Ler, 15, yang berjaya dinobatkan sebagai olahragawawi sempean majlis Anugerah Gemilang tersebut berkata, kejayaannya tidak dijangka kerana semua calon lain juga sangat berbakat dan hebat dalam pelbagai aspek.
“Saya tak sangka akan menang kerana semua calon pun baik dan layak,” katanya.
Antara pencapaian sukan yang diraihnya termasuk mewakili Malaysia dalam Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2024, dengan kejayaan merangkul satu pingat emas dalam kategori Nanquan Wanita dan satu pingat perak dalam kategori Nangun Wanita.
Selain itu, dia turut menyumbang kejayaan kepada negeri Melaka dalam SUKMA XXI (Sarawak) 2024 dengan memenangi satu pingat emas (Nanquan Wanita) dan satu pingat perak (Nangun Wanita).
Dia juga mencatat kedudukan naib juara dalam Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan bagi kategori Nanquan, Nandao, dan Nangun Wanita.
Anak kedua daripada dua beradik, bertekad untuk terus fokus dalam pelajaran walaupun sibuk dengan aktiviti sukan.
“Rancangan saya selepas ini adalah untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dan terus berjaya. Saya tidak akan berputus asa,” ujarnya.
Selain mendengar arahan guru, dia juga menghargai sokongan rakan-rakan yang banyak membantu dalam pembelajarannya dan menjadikan semangat kerjasama sebagai kunci utama kejayaannya.
Sementara itu, pelajar aliran sains dan juga atlet pingpong, Chuang Kuan Chien, 18, telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun jadualnya padat dengan latihan dan ulang kaji, dia optimis mampu mencapai impian untuk memperoleh keputusan cemerlang dengan 9A dalam peperiksaan tersebut dengan membuktikan bahawa keseimbangan antara sukan dan pelajaran bukanlah sesuatu yang mustahil.
Menurut Kuang Chen, dia menggunakan pendekatan unik dalam pembelajaran yang berdisiplin dan dedikasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan.
“Saya susah hendak hafal banyak (perkara), jadi saya kerap buat soalan untuk bantu saya ingat dan memahami pelajaran,” katanya.
Kuang Chen bercadang untuk menceburi bidang perniagaan selepas tamat SPM dan dalam bidang sukan pula, dia mewakili negara di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Dari segi akademik pula, dia berharap dapat melanjutkan pengajian ke universiti seperti Taylor’s atau Sunway dengan kemudahan pembelajaran terbaik, bergantung kepada peluang mendapatkan biasiswa.
Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Huszaidi Hussin, berkata tahun 2024 menyaksikan peningkatan yang luar biasa dalam penglibatan sukan serta kejayaan akademik pelajar-pelajar sekolah ini.
Kata beliau, pencapaian atlet semakin memberangsangkan berdasarkan kejayaan mereka dalam pelbagai kejohanan dunia, Asia, dan Sukan Komanwel.
“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat melihat peningkatan ketara. Atlet kita berjaya merangkul pingat emas dalam pelbagai kategori sukan seperti olahraga, badminton, dan wushu. Contohnya, atlet kita muncul juara dalam kejohanan remaja dunia dan kejohanan Asia. Ini membuktikan program latihan sistematik yang dilaksanakan telah memberikan hasil yang membanggakan,” katanya. – UTUSAN