Dia berasa teruja sungguh hendak pergi ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini akan berlangsung selama 10 hari di WTCKL.
Apatah lagi pada tahun ini dia mendapat jemputan dalam satu program pada hari pertama PBAKL. Dia bersetuju untuk hadir. Program itu dianjurkan oleh satu pertubuhan penulis yang sudah terkenal di Malaysia.
Program yang akan dihadirinya itu merupakan satu acara meraikan penulis yang berjaya menerbitkan buku di bawah projek penerbitan buku PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) – Malaysia Madani.
Dia berasa bersyukur kepada Allah kerana manuskrip kumpulan cerpennya telah diterima oleh PENA.
Dia tidak menjangka sama sekali manuskripnya diterima untuk diterbitkan di bawah projek penerbitan buku PENA – Malaysia Madani.
Projek penerbitan buku PENA – Malaysia Madani merupakan dana yang disumbangkan oleh kerajaan Madani kepada PENA daripada perolehan Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM2.5 juta.
Di samping tujuan PENA memajukan industri kreatif dalam bidang penulisan, dana ini membantu penulis pemula dan penulis mapan menerbitkan karya penulisan dalam bentuk buku.
Maklumat yang dia dapat, PENA telah menerima hampir 500 manuskrip daripada penulis pemula dan penulis mapan.
Malah PENA turut menerima manuskrip daripada penulis yang telah diiktiraf sebagai sasterawan.
PENA telah menyaring kesemua manuskrip oleh juri-juri yang dilantik oleh PENA mengikut kepakaran masing-masing. Dan akhirnya PENA memilih 125 manuskrip untuk diterbitkan dalam bentuk buku.
Dia bukan penulis yang mencapai tahap yang hebat seperti penulis-penulis lain yang diiktiraf oleh jagat kesusasteraan. Dia menulis kerana minat sejak di sekolah menengah. Dia menulis mengikut kemampuan yang dia ada berdasarkan secubit pengetahuan.
Justeru apabila PENA memaparkan iklan projek penerbitan buku PENA – Malaysia Madani, terlalu lama dia berfikir sama ada hendak menyertai atau tidak.
Dia meneliti kembali cerpen-cerpennya yang tersiar di surat khabar dan majalah. Berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan oleh PENA, dia layak menghantar manuskrip cerpen kerana jumlah cerpennya mencukupi.
Tetapi dia berasa tidak yakin hendak menghantarnya kerana mutu cerpen-cerpennya di tahap biasa sahaja.
Berdasarkan kenyataan tokoh-tokoh sastera, ciri-ciri cerpen yang baik adalah memiliki struktur naratif yang mampu mencabar pemikiran pembaca.
Dia turut berfikir adakah manuskrip kumpulan cerpennya akan diterima kerana dia tidak menjadi ahli PENA?
Malah dia tidak mengenali Jawatankuasa PENA kerana dia tidak pernah mengikuti program yang dianjurkan oleh PENA. Dan sudah tentulah Jawatankuasa PENA tidak mengenalinya kerana dia penulis yang tidak tersohor.
Akhirnya dia bertekad menghantar manuskrip kumpulan cerpennya kepada PENA dengan menyimpan harapan 50-50. Setelah dia berjaya menghantar secara dalam talian seperti yang diarahkan oleh pihak PENA, dia berdoa kepada Allah semoga dikurniakan rezeki kepadanya.
Tanpa diduga manuskrip kumpulan cerpennya diterima PENA untuk diterbitkan. Dia benar-benar berasa terharu. Dia bersyukur ke hadrat Allah. Setelah hampir enam bulan buku kumpulan cerpennya diterbitkan, pihak PENA mengadakan majlis Temu Mesra meraikan para penulis yang berjaya dalam projek penerbitan buku PENA – Malaysia Madani bersempena PBAKL di WTCKL.
Hanya tinggal beberapa hari lagi PBAKL akan berlangsung. Dia tidak sabar hendak datang ke majlis anjuran PENA. Tetapi hati dia diserang kebimbangan. Dia berasa bimbang cara bagaimanakah dia hendak datang ke WTCKL.
Dia tidak sanggup datang ke WTCKL dengan menaiki kereta. Jalan menuju ke Kuala Lumpur sentiasa sesak dengan kenderaan. Dia tidak sanggup terperangkap dalam kesesakan selama berjam-jam.
Kebimbangan hatinya semakin parah jika dia telah sampai ke WTCKL dengan membawa kereta. Masalah yang akan dihadapinya adalah tempat memarkir kereta di WTCKL telah dipenuhi kenderaan.
Dia pernah mencari parkir di pusat beli-belah bersebelahan WTCKL, juga menghampakan perasaannya kerana parkir setiap aras telah dipenuhi kenderaan.
Dia tidak berani memarkir kereta di tepi jalan berdekatan WTCKL kerana akan disaman oleh polis atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Sewaktu dia termenung di jendela, tiba-tiba dia didatangi idea cara bagaimanakah dia hendak pergi ke WTCKL. Dia ingin menaiki kenderaan pengangkutan awam. Kenderaan awam yang menjadi tumpuan pengguna ketika ini ialah rel MRT (Mass Rapid Transit) dan rel LRT (Light Rail Transit).
Ada dua laluan rel MRT yang dibina kerajaan bagi tujuan memudahkan rakyat menuju ke sesuatu tempat tanpa menempuh kesesakan jalan raya.
Dua laluan rel MRT itu ialah laluan dari Kajang ke Kwasa Damansara dan laluan dari Putrajaya ke Kwasa Damansara.
Dia mencari maklumat mengenai rel MRT di laman web MRT Corp. Dia menemui Peta Transit Berintegrasi Lembah Klang yang memaparkan laluan rel MRT, rel LRT, Monorel, KTM dan ERL.
Setelah dia menatap dengan teliti laluan MRT, dia menemui di perhentian mana dia akan naik dan di perhentian mana dia akan turun.
Dia akan menaiki di hentian MRT UPM dan turun di hentian MRT Titiwangsa. Kemudian dia akan bertukar menaiki rel LRT menuju ke hentian LRT PWTC yang berdekatan dengan bangunan WTCKL.
Dia berasa berdebar-debar menunggu hari pertama PBAKL. Program yang dianjurkan PENA bermula pada pukul 3 petang dan jatuh pada hari Jumaat.
Justeru, dia ingin sampai ke WTCKL pada pukul 12 tengah hari kerana dia hendak bersolat Jumaat di surau aras satu bangunan WTCKL.
Sampai hari yang ditunggu, dia dihantar oleh isterinya ke hentian MRT UPM. Sebaik sahaja turun dari kereta, dia terus menaiki eskalator dan menuju ke kaunter untuk membeli token.
Dia menyerahkan kad pengenalan kepada petugas kaunter kerana warga emas mendapat potongan separuh harga.
Dia memberitahu petugas kaunter bahawa dia hendak turun di hentian MRT Titiwangsa. Jumlah duit yang perlu dia bayar adalah sebanyak dua ringgit.
Setelah diberi token oleh petugas kaunter, dia menuju ke pintu masuk untuk menaiki rel MRT. Dia meletakkan token di sebelah pintu dan pintu terbuka secara automatik. Kemudian dia simpan token dalam poket seluarnya.
Dia menaiki eskalator menuju ke tingkat atas di mana landasan rel MRT berhenti mengambil penumpang.
Di tepi landasan dibina pintu pagar bercermin bagi mengelak penumpang masuk ke landasan. Tidak sampai lima minit dia menunggu, kereta api MRT tiba di hentian.
Pintu pagar bercermin dan pintu kereta api terbuka secara automatik. Dia masuk dan duduk di kerusi berwarna kuning yang bertampal logo warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya.
Dia lihat di dalam kereta api, jumlah penumpang ramai juga. Ada penumpang yang berdiri.
Lebih kurang 35 minit perjalanan, kereta api MRT sampai di hentian MRT Titiwangsa. Dia bangun dan keluar sebaik sahaja pintu kereta api terbuka.
Dia mengekori penumpang lain menuju ke eskalator. Sampai di tingkat atas, dia nampak lorong ke hentian LRT. Dia ikut lorong itu sehingga sampai di landasan kereta api LRT.
Dia bertanya kepada seorang pengawal lelaki arah hentian LRT PWTC. Lelaki itu memberitahu naik sahaja kereta api yang tiba kemudian turun di hentian hadapan sambil tangannya menunjuk ke arah bangunan WTCKL.
Beberapa minit kemudian kereta api LRT tiba. Tidak sampai satu minit, kereta api LRT berhenti di hentian PWTC. Dia keluar dan menjejaki eskalator yang menuju ke bawah. Kemudian kesemua penumpang menuju ke pintu keluar.
Dia menyeluk token dalam poketnya dan memasukkan ke dalam lubang kecil sebelah pintu automatik.
Pintu tidak terbuka dan token keluar daripada lubang kecil. Dia masukkan semula. Pintu masih tidak terbuka.
Hatinya berdebar-debar. Kenapa pula pintu tidak terbuka.
Sekali lagi dia masukkan token ke dalam lubang kecil. Pintu tidak juga terbuka. Dia nampak seorang pengawal lelaki di pintu keluar.
“Kenapa pak cik tidak boleh keluar?” Dia bertanya kepada lelaki itu sambil menunjukkan token.
“Pak cik tunggu di sini. Saya suruh petugas kaunter semak token ini” Jawab lelaki itu dan mengambil token. Kemudian lelaki itu masuk berjumpa petugas kaunter. Seketika lelaki itu menggamit dia ke kaunter.
“Pak cik kena tambah sepuluh sen. Sepatutnya pak cik beritahu yang pak cik hendak turun di hentian LRT PWTC. Dekat saja hentian PWTC ini dengan hentian Titiwangsa” beritahu lelaki itu.
“Alamak! Pak cik tak ada langsung duit syiling dalam poket pak cik!” Dia menjawab dan terkejut dengan kesilapan dia ketika membeli token. Dia benar-benar berasa menggelabah.
“Saya ada duit syiling. Saya bayarkan pak cik” tiba-tiba seorang wanita muda di sebelahnya menyampuk.
Wanita itu membuka dompetnya dan menghulurkan duit syiling bernilai sepuluh sen kepada lelaki itu.
“Allahuakbar! Terima kasih, nak!” Dia bersyukur kerana ada insan yang sudi menolongnya.
Sewaktu dia menoleh di sebelahnya, wanita itu telah tiada. Dia tidak pasti sama ada wanita itu mendengar ucapannya.
Dia memasukkan token yang telah ditambah nilai sepuluh sen ke dalam lubang kecil. Pintu keluar terbuka. Hatinya berasa lega. Dia nampak laluan ke WTCKL.
Ketika dia berjalan kaki menuju ke WTCKL, peristiwa duit syiling sepuluh sen masih menerawang di fikirannya.
Alangkah mahalnya nilai sepuluh sen biarpun ramai manusia beranggapan sepuluh sen terlalu murah dan tidak bernilai. Dan dia sendiri tidak menyangka akan ditolong oleh seorang insan yang memiliki ihsan yang tinggi. – UTUSAN










