Semak undang-undang Islam secara berkala - PGSM

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa supaya semua peruntukan undang-undang yang berkait dengan agama Islam dan umat Islam disemak serta ditambah baik secara berkala agar selari dengan keperluan semasa dan hukum syarak.

Presidennya, Musa Awang berkata, semakan itu perlu melibatkan libat urus menyeluruh dengan pelbagai pihak termasuk badan agama, pakar undang-undang dan masyarakat sivil supaya sebarang pindaan atau tafsiran undang-undang Islam selari dengan Perlembagaan dan perundangan sivil negara.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) tidak memihak kepada yang kalah atau menang kerana mahkamah telah menjalankan tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkataan-perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’. 

Menurutnya, tafsiran itu terkandung di dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Butiran 1’).

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa-apa komen mahu pun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasanya yang berbunyi  ‘… fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyelewemg daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan  pluralisme  agama  hendaklah  bertaubat dan kembali ke jalan Islam’.

“Ini bermaksud bahawa kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan agama Islam ke atas penganut beragama Islam masih kekal dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama Negeri (Jawatankuasa fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri).

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hanya berkenaan had pemakaian fatwa tersebut iaitu hanya kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan atau tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat, pertubuhan atau institusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walaubagaimanapun, Musa Awang berkata, mana-mana individu beragama Islam yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa yang dikeluarkan tersebut.

“Ini kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak bergerak sendiri, sebaliknya ia semestinya digerakkan oleh individu-individu tertentu. 

“Justeru, penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut tidak membatalkan atau menafikan keabsahan pemakaian fatwa ke atas individu-individu dan larangan terhadap mana-mana individu Islam menganut fahaman pluralisme dan liberal, atau apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.

Mahkamah tertinggi negara itu dalam keputusan penting yang menjadi nas undang-undang, memutuskan perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan seperti sebuah syarikat.

Ia bagaimanapun menyatakan mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa itu, adalah kekal terikat dengan fatwa berkenaan.

Panel empat hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini melalui penghakiman majoriti 3-1 membenarkan rayuan akhir SIS Forum dan dua yang lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN