Segera laksana pembaharuan perlindungan sosial

Segera laksana pembaharuan perlindungan sosial

AHMAD ZULQARNAIN ONN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu segera melaksanakan pembaharuan sistem perlindungan sosial bagi menyesuaikan diri dengan perubahan struktur masyarakat dan ekonomi negara, sekali gus memperkukuh usaha mencapai status negara maju.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sistem perlindungan sosial kini dibentuk dalam konteks zaman silam yang sudah tidak relevan dengan realiti masa kini.

“Ketika sistem ini dirangka dahulu, jangka hayat rakyat lebih pendek, laluan kerjaya pula lebih linear dan kebanyakan individu kekal bekerja dalam sektor yang sama sepanjang hayat.

“Dunia pekerjaan hari ini sudah berubah. Pekerja berpindah sektor, menambah kemahiran dan ada yang bekerja secara sambilan atau secara bebas. Sistem persaraan perlu pantas menyesuaikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa ke-12 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.

Ahmad Zulqarnain berkata, dalam menghadapi perubahan ini, negara perlu segera mengubah pendekatan dan membina ekosistem perlindungan sosial yang lebih mampan dan inklusif.

Katanya, jaminan persaraan tidak boleh lagi dilihat semata-mata dari aspek simpanan individu dalam tabungan persaraan, sebaliknya mesti diletakkan dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

“Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian termasuk akses kepada penjagaan kesihatan yang mampu milik, gaji yang adil dan bermaruah, infrastruktur digital menyeluruh serta dasar fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” katanya.

Tambah beliau, jika negara terus bergantung kepada sistem lama yang tidak lagi sesuai dengan struktur demografi dan ekonomi semasa, generasi akan datang berisiko berdepan tekanan ekonomi lebih besar ketika usia tua.

“Semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan individu perlu memainkan peranan bersama dalam memastikan rakyat mempunyai persediaan kewangan yang mencukupi untuk hari tua mereka.

“Pembinaan masa depan negara yang sejahtera memerlukan satu sistem perlindungan sosial yang kuat dan responsif terhadap perubahan zaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN