Rayuan, permohonan masuk bukti baharu Siti Bainun 14 Ogos

Rayuan, permohonan masuk bukti baharu Siti Bainun 14 Ogos

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 14 Ogos depan bagi pendengaran notis usul untuk memasukkan bukti baharu serta rayuan dikemukakan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali bagi mencabar sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun terhadapnya sebelum ini.

Tarikh berkenaan ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Nadia Azman.

Tambah peguam bela, Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun berkata, pendakwaan selaku responden telah memfailkan afidavit jawapan kepada notis usul berkenaan pada 30 Mei lalu. 

“Pada 14 Ogos nanti, mahkamah akan mendengar permohonan notis usul terlebih dahulu. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman akan didengar selepas itu,” katanya. 

Notis usul bagi mengemukakan bukti baharu yang difailkan pada 19 Mei lalu membabitkan laporan polis dibuat oleh Ismanira Abdul Manaf yang menyentuh kredibiliti salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella. 

Ismanira ialah ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dan telah didakwa di mahkamah bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin. 

Laporan polis itu dibuat Ismanira pada 25 Julai 2024 iaitu sewaktu siasatan kes kehilangan dan kematian kanak-kanak austime itu masih berjalan.

Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengabaikan dan menganiaya Bella pada 2021. Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN