Ranking Zii Jia jatuh enam anak tangga

Ranking Zii Jia jatuh enam anak tangga

LEE Zii Jia ketika diusung keluar oleh pegawai perubatan pada aksi terakhir Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 menentang pemain tuan rumah, Li Shi Feng di Hangzhou, China, 13 Disember lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ranking pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus merudum apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan atlet berkenaan jatuh kepada No. 21 dunia, hari ini.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengalami kejatuhan ranking disebabkan masih dibelenggu kecederaan buku lali kanannya pada Jelajah Dunia Akhir BWF di China pada Disember lalu menyebabkan banyak kejohanan beliau tercicir.

Bagaimanapun, kejatuhan ranking itu tidak menjejaskannya untuk menyertai kejohanan selepas pulih daripada kecederaan apabila mendapat perlindungan ranking daripada BWF.

Sebagai rekod, perlindungan ranking boleh dipohon oleh mana-mana pemain yang sakit atau mengalami kecederaan sehingga tidak berupaya beraksi antara tiga hingga 12 bulan.

Ini bermakna pemain berusia 27 tahun berkenaan boleh memilih mana-mana kejohanan Jelajah Dunia BWF bermula dengan Terbuka Jepun pada Julai ini yang berkemungkinan pentas kemunculannya semula sejak Kejohanan Badminton All England, Mac lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan rasmi pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) hari ini memutuskan untuk tidak menyertai Program Road To Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 selepas membuat pertimbangan yang teliti.

Menurut kenyataan itu, Zii Jia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan dan merasakan bantuan daripada program RTG lebih wajar diberikan kepada rakan-rakan atlet lain yang lebih layak pada masa ini.

“RTG adalah program yang dikhaskan untuk yang terbaik dalam negara dan memandangkan Zii Jia masih dalam pemulihan daripada kecederaan, kami merasakan bantuan sewajarnya daripada program itu patut diberikan kepada rakan-rakan atlet lain yang lebih berhak pada masa ini,” kata kenyataan terbabit, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN