Rafizi kemas pejabat beri bayangan kekal letak jawatan

Rafizi kemas pejabat beri bayangan kekal letak jawatan

RAFIZI Ramli bersama pegawai-pegawai dasar di bawah Kementerian Ekonomi sebelum meninggalkan pejabat.- FACEBOOK RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan jelas bahawa beliau kekal dengan keputusan untuk meletakkan jawatan apabila mengesahkan telah mengemas pejabat dan menyelesaikan urusan terakhir di Kementerian Ekonomi.

Menurut Menteri Ekonomi itu, beliau mengambil kesempatan itu untuk merakamkan penghargaan kepada barisan pegawai dasar di bawah Kementerian Ekonomi yang telah banyak membantunya merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.

“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Rafizi turut memperkenalkan barisan pegawai dasar yang selama ini menjadi tulang belakang dalam merangka pelbagai inisiatif ekonomi negara di bawah pentadbiran beliau.

“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.

“Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada lima pegawai kanan tersebut yang akan kembali ke bidang masing-masing selepas tamatnya tempoh perkhidmatan bersama beliau.

“Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Rafizi mengumumkan untuk meninggalkan Kabinet berkuatkuasa 17 Jun ini selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2025 yang lalu.

Katanya, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN