LANGKAWI: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana merompak sebuah kedai emas, minggu lalu.
Tertuduh, M. Kumar, 45, yang merupakan seorang penganggur mengangguk faham setelah pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Tamil dibacakan di hadapan Majistret Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan rompakan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap seorang lelaki warga emas, Muhammad Abdullah, 69, dengan mengambil seutas gelang emas seberat 29.62 gram.
Kejadian itu berlaku di sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah 5, Kuah, di sini pada pukul 11.48 pagi, Khamis lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 14 tahun penjara bersama denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqlima Azizi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.
Pada 19 Jun lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki bersenjatakan parang dan serbuk cili nekad merompak sebuah kedai emas sebelum dikejar pemilik premis dan orang awam. Suspek berjaya ditahan polis berhampiran lokasi kejadian.-UTUSAN