KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan program latihan berskala besar, AI-4-Educators yang menyasarkan hampir 400,000 pendidik di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkasa golongan pendidik dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran mereka.
Beliau berkata, inisiatif yang bermula sejak 7 April hingga 12 Jun lalu, telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penyertaan terbesar golongan pendidik dalam program latihan AI.
“Program ini bukan sahaja menekankan aspek teknik dan kemahiran, malah turut memberi tumpuan kepada isu etika penggunaan AI dalam pendidikan, bagi memastikan guru-guru kita benar-benar bersedia menghadapi cabaran era teknologi baharu,” katanya berucap sempena pelancaran Karnival Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Bukit Jalil, hari ini.
Karnival selama dua hari itu dianjurkan oleh HRD Corp dengan sokongan Kesuma.
Ia adalah inisiatif tahunan yang membuka akses peluang pembelajaran dan latihan percuma kepada semua individu tanpa mengira umur, latar belakang atau tahap pendidikan.
Steven Sim berkata, guru merupakan barisan hadapan dalam pembangunan modal insan negara, justeru amat penting mereka dibekalkan dengan kemahiran tercanggih sejajar dengan keperluan ekonomi abad ke-21.
“Ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Kesuma, tetapi juga komitmen Kerajaan Madani untuk memacu pembangunan sumber manusia yang inklusif,” katanya.
Beliau memaklumkan, tahun ini Malaysia turut membuka penyertaan NTW 2025 kepada negara ASEAN, selaras peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia dan rakan-rakan dari negara-negara jiran ASEAN untuk mengambil peluang ini. Ini adalah sebahagian komitmen Malaysia dalam memajukan pembangunan modal insan di rantau ini menerusi kursus percuma yang ditawarkan,” katanya.
NTW 2025 merekodkan lebih dua juta penyertaan setakat pembukaan hari ini, dengan 40 peratus daripadanya adalah kursus berkaitan industri 4.0. – UTUSAN