Norza dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kewangan BWF

Norza dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kewangan BWF

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Audit dan Risiko Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini. - IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Audit dan Risiko Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, menyifatkan pelantikan Presiden Kehormat Seumur Hidup badan induk itu sebagai satu pengiktirafan membanggakan buat Norza dan negara.

“BAM mengucapkan tahniah kepada Presiden Kehormat Seumur Hidup kami, Tan Sri Norza Zakaria atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Audit dan Risiko BWF.

“Kami berbangga dengan pengiktirafan ini dan mendoakan kejayaan berterusan beliau dalam menyumbang kepada pertumbuhan serta tadbir urus badminton di peringkat global,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada April lalu, Norza telah dipilih secara rasmi sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia bagi penggal 2025-2029 menerusi Mesyuarat Agung Tahunan ke-86 BWF yang berlangsung di Xiamen, China.

Beliau merupakan antara 20 individu berprofil tinggi yang dipilih berdasarkan kuota benua dan jantina seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan BWF.

Pemilihan itu turut mengukuhkan peranan Norza di peringkat antarabangsa, selain beliau turut menyandang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara.

Selain itu, beliau juga dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk penggal ketiga berturut-turut pada 19 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN