PETALING JAYA: Malaysia merupakan negara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di dunia, sekitar 12 peratus.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, angka itu memperlihatkan ruang penjanaan hasil masih sempit dan peluasan cukai diperlukan demi memastikan keberlanjutan fiskal negara.
Katanya, prinsip utama kerajaan jelas bahawa beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak.
“Sebaliknya, hasil cukai digunakan semula untuk program yang pro rakyat termasuk RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang memanfaatkan sembilan juta penerima.
“Manakala RM400 juta untuk membaik pulih klinik usang, lebih RM600 juta untuk membaiki lebih 8,000 tandas sekolah memberi manfaat lebih kepada lima juta pelajar. Malah, pelbagai lagi inisiatif baik untuk rakyat yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan.
“Inilah asas sebenar kepada setiap dasar Kerajaan Madani untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pendekatan yang bertanggungjawab dan menyeluruh,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan secara bersasar akan dilakukan berkuat kuasa 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
Tunku Nashrul berkata, segala angka dan pengiktirafan tidak bermakna sekiranya gagal memberikan manfaat kepada rakyat.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setiap kejayaan mesti membawa manfaat kepada rakyat.
“Inilah manifestasi Madani Bekerja, bukan sekadar slogan tetapi satu gerakan reformasi yang diteruskan, ditambah baik dan diterjemah dalam bentuk hasil yang dapat dirasai oleh rakyat terbanyak,” katanya. – UTUSAN