Nahas trak FRU: Syarikat pengendali lori akan diheret ke mahkamah - Anthony Loke

Nahas trak FRU: Syarikat pengendali lori akan diheret ke mahkamah – Anthony Loke

ANTHONY Loke mendengar penjelasan dari pihak Scania berkenaan peranti had laju pada Majlis Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn. Bhd, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat pengendali lori yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak akan diheret ke mahkamah kelak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lesen pengendali syarikat itu telah dibatalkan serta merta sebelum ini.

Menurut beliau, ramai masih keliru mengenai faktor permit kenderaan dan lesen pengendali syarikat yang terlibat.

“Kita ingin jelaskan bahawa ia adalah perkara berlainan namun apa yang pasti lesen pengendali syarikat itu dibatalkan.

“Selain itu, kita menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengheret pemilik syarikat berkenaan ke mahkamah,” katanya pada sidang akhbar perasmian majlis penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) bagi kenderaan perdagangan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan keluarga mangsa mahu syarikat pengendali lori itu bertanggungjawab terhadap insiden pada 13 Mei lalu selepas Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pe­ngangkutan Jalan mendedahkan syarikat itu gagal dalam Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dan hanya memperoleh mar­kah keseluruhan 15 peratus.

Selain itu, ia melibatkan kesalahan membenarkan pemandu membawa muatan berlebihan sehingga 40,960 kilogram (kg) sedangkan muatan dibenarkan hanya 24,000 kg sekali gus menunjukkan lori berkenaan membawa muatan lebih 70.67 peratus pada hari kejadian.

Nahas kira-kira pukul 8.54 pagi itu meragut nyawa sembilan anggota FRU manakala sembilan lagi cedera selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Mengulas lanjut, kata Anthony, keluarga mangsa turut boleh mengambil tindakan sivil terhadap syarikat itu.

“Mereka mempunyai hak bagi mendapatkan ganti rugi dan pampasan selayaknya akibat insiden itu,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai langkah menangani isu pemandu yang mempunyai rekod kesalahan trafik daripada meneruskan pengoperasian kenderaan perdagangan di jalan raya, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan satu sistem data baharu.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang bangunkan sistem pangkalan data bagi mengintegrasikan semua butir maklumat pemandu bas di seluruh negara.

“Pangkalan data itu akan dibangunkan bagi mengenal pasti syarikat pengusaha dan operator yang mengambil pemandu (bekerja) mempunyai rekod lampau atau sebaliknya,” katanya.

Dalam perkara berasingan, Anthony berkata, keputusan mengembalikan kuasa mengawal selia pengangkutan pelancongan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.   

“Saya tidak mempunyai masalah berhubung kawal selia kuasa itu terutama melibatkan bas persiaran yang telah dibangkitkan oleh MOTAC sejak dua tahun lalu.

“MOTAC sebelum ini membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan diedarkan kepada Kementerian Pengangkutan sebelum insiden (kemalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlaku,” katanya.

Kelmarin, MOTAC menggesa supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu susulan nahas bas meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Gerik, Perak Isnin lalu. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN