Merelakan pemergian emak

Merelakan pemergian emak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Emak masuk hospital. Keadaannya lemah. Doktor kata stabil.”

Sebaik sahaja menerima pesanan ringkas WhatsApp abangku, Ishak pada pagi Sabtu itu, aku terus menghubunginya.

“Apa yang sebenar terjadi, Bang? Mengapa sampai hospital bagai?” Aku bertanya apabila panggilan aku dijawab.

“Oh, mak jatuh katil tadi. Dia tidak boleh bangun sendiri. Bila abang dan akak Siti angkat, dia tidak boleh berdiri. Duduk pun badannya senget. Nak tergelungsur. Abang dapatkan ambulans dan emak terus dibawa ke hospital. Hospital Lumut,” jawab abangku

Mengapa Hospital Lumut? Aku mahu bertanya lagi. Pertanyaan seterusnya: mengapa tidak pusat perubatan swasta?

Emak kan sudah 86 tahun. Berilah dia keselesaan mendapatkan rawatan pada hujung usianya, aku ingin menambah. Kita pun tidak tahu berapa lama lagi emak akan bersama kita sebelum dipanggil pulang Pencipta, aku seterusnya ingin memberitahu.

Tambahan pula sepanjang hidupnya selama aku menjaga emak setelah bapaku meninggal dunia, emak tidak pernah dimasukkan ke hospital kerajaan bagi mendapat rawatan.

Aku menghantarnya ke hospital swasta. Aku juga menyara hidupnya selama hampir 40 tahun. Sakit pening emakku, adik beradik yang lain tidak ambil pusing. Jika mereka menjenguk emak pun, mereka menziarah emak sebagai tetamu. Singgah sejam dua kemudian angkat punggung. Aku mampu menyediakan rawatan kesihatan terbaik kepada emakku kerana waktu itu aku bekerja.

Pada mulanya dengan sebuah agensi kerajaan. Kemudian dengan sebuah bank. Pendapatan aku sebagai pengarah komunikasi strategik boleh tahan juga. Cukup untuk menampung kami dua beranak. Tetapi setelah mengalami kemalangan jalan raya aku tidak lagi bekerja. Aku tiada pendapatan tetap untuk menampung keperluan emakku seperti dulu. Sebagai trainer sambilan dalam bidang komunikasi pendapatan aku tidak seberapa.

Abangku baru menjaga emakku tidak sampai dua tahun di Lumut. Itupun kerelaan emak sendiri berhijrah ke sana setelah dia menjalani rawatan dialisis. Buah pinggangnya tidak lagi berfungsi.

Emak tidak mahu menyusahkan tiga anaknya yang tinggal di Shah Alam kerana masing-masing keluar mencari rezeki setiap hari.

Ada keluarga yang perlu disara. Dialisis perlu dilakukan tiga kali seminggu – Isnin, Rabu dan Jumaat. Kami berkongsi menanggung perbelanjaan dialisis emak.

Pada peringkat awal aku, abang sulungku dan kakakku bergilir-gilir membawa emakku ke hospital swasta untuk melakukan dialisis.

Aku tidak sampai hati mengajukan pertanyaan mengapa emak dimasukkan ke hospital kerajaan, bukannya pusat perubatan swasta kepada abangku. Aku tahu jawabannya bak kata orang sudah terang lagi bersuluh. Abang keduaku tiada kemampuan kewangan untuk menghantar ibuku ke hospital swasta. Dia seorang pesara tanpa pencen bulanan. Perkhidmatannya dengan Pasukan

Maritim Malaysia (PMM) tidak cukup haul apabila dia buat keputusan berhenti. Jadi, dia tidak layak disara oleh kerajaan seperti abang sulungku, Sazali. Dia juga berkhidmat dengan PMM dengan pangkat Leftenan Komander semasa bersara, membolehkan dia mendapat pencen bulanan untuk menyara kehidupan pascapersaraan.

Taklah mewah sangat kehidupan abang sulungku itu. Tapi setiap hujung bulan tanpa mengira hujan atau panas wang pencen masuk. Kalau bernasib baik dapat bonus khas Kerajaan Madani yang kononnya mengambil berat nasib para pesara perkhidmatan awamnya.

Isteri abang sulungku yang baru dinikahi juga bekerja dengan gaji agak lumayan di sebuah syarikat multinasional antarabangsa. Hidupnya tidaklah susah mana walaupun ada kalanya dia mengeluh tentang hutang keliling pinggang.

“Adik balik ye, tengok emak,” pesan abangku, Ishak sebelum menamatkan perbualan telefon.

“Baik, hari ini juga adik akan ke Lumut, insya-Allah,” balasku. Sebaik meletakkan telefon, aku membuat persiapan untuk bertolak ke sana, ditemani suamiku.

Mana mungkin aku tidak menziarahi emakku. Emak adalah segala-galanya dalam hidup aku. Dia ratu hatiku. Dialah tempat aku meluahkan perasaan dan mengadu jika aku tertekan di tempat kerja. Atau bermasalah dengan pasangan hidupku sewaktu aku berumahtangga.

Mujurlah perkahwinan pertama dan keduaku tidak kekal lama kerana aku menikahi dua lelaki yang aku anggap tidak berguna. Suami pertamaku curang. Pekerjaanku yang tidak menentu masa dan ada kalanya terpaksa keluar negara telah membuka ruang untuknya menjalin hubungan sulit dengan rakan sekerja.

Sebaik sahaja tahu, tanpa banyak bicara dan rasa kesal, aku mohon cerai. Tiada gunanya bersama lelaki yang mengkhianati cinta suci pertama aku. Hari itu aku belajar dalam hidup ini tiada cinta sejati. Yang ada hanya kata-kata manis lelaki.

Suami kedua pula seorang kaki betina. Pantang tengok wanita berdahi licin. Dan dia seorang pemabuk. Status aku sebagai seorang janda sering diungkit-ungkit apabila kami bertengkar. Walhal dia tahu aku seorang janda sewaktu dia mengorat aku dan menyatakan hasrat hendak menikahi aku. Dia berkata, “saya tidak kisah dengan status sayang. Izinkan saya berkongsi kebahagiaan dengan sayang.”

Manisnya. Benarlah lidah tidak bertulang. Kata-kata itu percuma. Masa berkehendak pelbagai janji ditabur. Setelah dapat, aku dianggap sebagai sampah. Dikata nista ikut suka. Dihina macam aku tidak ada harga diri. Pada hal aku tidak menyorok status janda aku sewaktu kami berkenalan dan seterusnya menjalin cinta bagai Laila dengan Majnun. Dia yang tergila-gila untuk memperisterikan aku. Tertawan dengan kejelitaanku. Aku pula tidak serik dengan kegagalan perkahwinan pertama. Lalu membuka pintu hatiku kepadanya.

Apabila kami perang besar pada suatu malam selepas dia balik ke rumah selepas berfoya-foya, suamiku dalam keadaan mabuk melafazkan cerai talak tiga. Setelah tersedar, dia menyesal.
Aku pula buat keputusan untuk angkat kaki dan balik ke rumah sewa emakku. Maka dalam usia agak muda aku menjanda lagi.

Lepas itu aku membuat keputusan untuk tidak senang-senang terjerat dengan cinta lelaki. Terutama lelaki mata keranjang yang tertarik dengan kejelitaan fizikal aku. Mereka barangkali memandang diriku sebagai pemuas nafsu semata-mata.

Terus terang aku katakan, bukan tiada lelaki yang cuba mendekati diriku selepas berstatus janda kali kedua. Ramai. Ada yang menjanjikan bulan dan bintang; kesenangan dan keselesaan.

Penerbangan kelas pertama keluar negara. Dengan hormat akan menepisnya. Aku tidak rela diperdaya lagi.

Tambahan pula aku memang ada rupa. Digilai oleh lelaki miang. Termasuk lelaki yang mengaku bujang walhal sudah beristeri dan anak-anak sudah berderet.

Aku sudah serik untuk berkahwin. Sudah taubat dengan janji manis lelaki. Mungkin salah aku juga kerana gagal menjadi isteri yang tipikal dan sempurna sewaktu bergelar suri rumah seperti yang digambarkan dalam drama-drama Melayu.

Isteri yang bukan sahaja melayan nafsu suami di bilik tidur, tetapi menyediakan makan minum suami. Sebagai isteri, aku bukanlah sempurna. Aku tidak suka diperhambakan sebagai orang gaji. Masak memasak bukanlah kegemaran aku.

Agaknya itulah rahmat tersembunyi kegagalan aku dalam berumah tangga. Allah SWT ingin mengamanahkan aku untuk menjaga emakku. Emaklah tempat aku mengadu hal. Telinganya sentiasa ada untuk mendengar keluhan dan rintihan diriku.

Lagi pula aku anak bongsu. Sejak bapaku meninggal dunia akibat serangan jantung semasa aku berusia 30 tahun, menjaga emakku menjadi tanggungjawab aku.

Emak berstatus balu ketika dia berusia 50 tahun. Dua orang abangku dan kakakku masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.

Emakku pula keberatan tinggal dengan mereka. Katanya: “Emak lebih selesa tinggal dengan adik. Kita berdua bebas untuk ke mana-mana.”

Semasa di Subang Jaya kami – aku dan emak, tinggal di rumah sewa. Kemudian aku dan emak berpindah ke rumah yang aku beli di Bukit Jati, Shah Alam setaman dengan rumah kakakku dan abang sulungku.

Abang keduaku pula tinggal di Lumut, Perak kerana dia bekerja dengan sebuah syarikat swasta pembinaan kapal di bandar itu selepas bersara dari PMM. Apabila emak menyatakan hasrat untuk tinggal dengan abangku yang sudah bersara itu, pada mulanya aku keberatan.

Tetapi apakan daya, aku sudah tidak larat untuk menjaganya kerana keadaan kesihatan aku sendiri tidak mengizinkan. Aku ada masalah kesakitan lutut dan sakit pinggang akibat nahas jalan raya yang membatasi pergerakan itu.

Aku juga sudah berkahwin untuk kali ketiga. Kali ini dengan seorang lelaki 15 tahun lebih tua daripada aku. Okaylah, hidupku bersama suami ketiga ini lebih tenteram.

Cuma aku tidak dapat memberi tumpuan kepada emakku seratus peratus walaupun suamiku membenarkan aku menjenguk emak setiap hari. Kalau hendak bermalam dengan emak, suamiku tidak melarang. Tetapi kerana aku tinggal berdekatan dengan emak, boleh dikatakan setiap hari aku akan singgah menemani emak. Ada kalanya pada hujung minggu atau pada hari-hari suamiku ada tugas di luar

Kuala Lumpur, aku bermalam dengan emak.

Justeru apabila emak membuat keputusan tinggal dengan abangku di Lumut dengan hati yang berat aku melepaskannya. Dan sebagai mengubat rindu setiap hari kami akan berbual telefon ada kalanya sampai berjam-jam. Aku juga akan menziarahi emakku sebulan sekali.

Melihat kesihatan emak yang semakin merosot, suamiku pernah mencadangkan supaya aku tinggal lebih lama dengan emak di rumah abangku.Tetapi aku menolak kerana keadaan kesihatanku tidak mengizinkan.

Apabila aku tiba di Hospital Lumut pada petang Sabtu itu, abangku memberitahu emak sedang menjalani dialisis. Aku bergegas ke wad dialisis. Emak menyambutku dengan gembira sekali. Dia sedar, tapi macam tak larat.

“Alhamdulilah, adik dah sampai,” emak berbisik ke telinga aku sewaktu ingin memeluknya. “Insya-Allah emak okay. Hospital tahan emak malam ini untuk membuat pemeriksaan lanjut tentang kesihatan emak” sambungnya.
Selepas selesai dialisis, emak dipindahkan ke wad kelas tiga Hospital Lumut khusus untuk pesakit wanita. Dalam ruang yang sederhana besarnya di Tingkat 1, terdapat 20 buah katil untuk 20 orang pesakit.

Aku menitiskan air mata melihat keadaan wad yang sesak itu. Kalaulah aku ada kemampuan aku akan pindahkan emak ke hospital swasta satu balik. Berhawa dingin. Bukan berkipas.

Selepas waktu melawat berakhir, aku meninggalkan emak dengan perasaan hiba dan sedih untuk ke hotel di mana aku akan bermalam. Aku dapat mengesan emak sebenarnya tidak selesa.

Tetapi dia terpaksa menelan ketidakselesaan itu sebagai harga yang dibayar sebagai warganegara berstatus B40.

Malam itu, abangku menugaskan anak perempuannya untuk menemani emak. Aku berjanji lepas subuh esok, aku akan menjaga emak pula. Janji itu aku tunaikan dengan hati yang senang.

Sebaik sampai di tepi katil emak, dia sedang nyenyak tidur. Aku membisikkan ketelinganya: “Emak, adik sampai ni. Nak jaga emak sampai ke petang.” Emak kekal tidur, tetapi dia sempat senyum kepada aku. Senyuman yang amat manis.

Rupanya itulah senyuman terakhir emak untuk aku. Pada sebelah tengah harinya, keadaan kesihatan emak semakin merosot. Dua jam kemudian emak disahkan meninggal dunia.

Dua abangku menggunakan kuasa vetonya untuk emak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lumut selepas Asar petang itu juga. Aku tidak setuju. Kalau boleh aku ingin emak disemadikan di

Shah Alam. Senang aku menziarahi pusaranya. Tapi aku tidak berani membantah.

Pemergian emak membuat separuh nyawaku melayang. Namun dengan hati yang hancur luluh, aku merelakan pemergiannya. Senyuman manis terakhir emak kekal menjadi peneman hidupku selagi hayat dikandung badan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN