ASSEN: Marc Marquez terus memperkukuh cengkaman dalam perebutan kejuaraan dunia MotoGP selepas menjuarai Grand Prix (GP) Belanda hari ini, namun kemenangan itu dibayangi insiden kecederaan adiknya, Alex Marquez.
Juara dunia enam kali itu menamatkan saingan di tempat pertama dengan mengetepikan dua pelumba Itali, Marco Bezzecchi (Aprilia) dan rakan sepasukan Ducati, Francesco Bagnaia yang sekadar berpuas hati di tangga ketiga.
Marc yang mencatat kemenangan ketiganya di ‘Katedral Kelajuan’ itu kini menyamai rekod 68 kemenangan perlumbaan elit milik legenda Giacomo Agostini, namun masih ketinggalan 21 kemenangan di belakang Valentino Rossi.
“Saya gembira dengan kerja keras pasukan selepas insiden dua kemalangan pada Jumaat lalu, hujung minggu yang menakjubkan.
“Saya simpati dengan Alex, ayah saya kata dia cedera jari tapi beginilah lumrah perlumbaan,” kata Marquez.
Alex bangkit sendiri dan dilihat memegang pergelangan tangan kirinya dengan cermat sebelum dihantar ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
Perlumbaan yang menyaksikan lebih 200,000 penonton membanjiri Litar Assen itu turut menyaksikan penamat tragik buat Fabio Quartararo dan Ai Ogura yang tersingkir seawal pusingan pertama.
Sementara itu, pelumba Brazil, Diogo Moreira mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama negara itu memenangi perlumbaan Moto2 dan dilihat bakal mengikut jejak langkah legenda Alex Barros. – AGENSI