Malaysia 'beri' kemenangan kepada New Zealand

Malaysia ‘beri’ kemenangan kepada New Zealand

Pemain Malaysia kecewa selepas tewas 4-3 kepada New Zealand pada perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Negara-Negara, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila mendahului tiga gol namun terpaksa akur dengan kekalahan 4-3 kepada New Zealand dalam aksi Kumpulan B Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyebabkan skuad kendalian Sarjit Singh itu berada di tangga ketiga kumpulan dengan satu mata di belakang New Zealand yang berada di tangga teratas dengan enam mata maksimum.

Pakistan di tangga kedua dengan empat mata manakala Jepun di tangga tercorot tanpa sebarang kutipan mata.

Malaysia dijadual menentang Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B di Bukit Jalil pada Rabu ini memerlukan kemenangan besar sambil mengharapkan Pakistan ditewaskan New Zealand yang sudah pun layak untuk menghidupkan peluang Speedy Tigers mara ke separuh akhir kejohanan.

Dalam aksi tersebut, New Zealand turun selaku juara bertahan bermula dengan garang apabila kerap melakukan asakan terhadap pintu gawang tuan rumah yang menyaksikan dua percubaan mereka terkena tiang gol.

Malaysia hampir menembusi gawang New Zealand namun pukulan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit kesembilan terkena tiang gol.

Memasuki suku kedua, Speedy Tigers berjaya memecahkan kebuntuan menerusi gol padang, Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-18 selepas menerima hantaran daripada Azrai.

Skuad hoki kebangsaan memperoleh gol kedua menerusi pukulan penalti yang disempurnakan oleh Fitri Saari pada minit ke-38 dan selang seminit kemudian Speedy Tigers mengukuhkan kedudukan dengan jaringan ketiga setelah penyerang, Azrai menjaringkan gol padang berpunca daripada hantaran, Nik Aiman Nik Rozemi.

Tersentak dengan tiga gol tersebut, New Zealand mula mengatur serangan dan Fin Ward berjaya meledak gol pertama pasukannya pada minit ke-44 sebelum Simon Yorston merapatkan kedudukan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.

Semangat juang skuad kendalian Greg Nicol wajar diberi pujian apabila mereka berjaya meledak gol ketiga menerusi Sean Findlay hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-46 untuk mengikat 3-3.

New Zealand merampas tiga mata berharga daripada Malaysia selepas Ward menjaringkan gol kedua peribadinya hasil gol padang pada minit ke-52.

Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Pakistan menewaskan Jepun 3-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN