Letshanaa kejutkan bekas juara dunia Jepun

Letshanaa kejutkan bekas juara dunia Jepun

K. Letshanaa menewaskan pemain Jepun, Nozomi Okuhara 21-8, 21-19 pada aksi pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Arena Pusat Amerika Tengah, Council Bluffs, Iowa, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa mencipta kejutan terbesar di Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menumbangkan bekas juara dunia Nozomi Okuhara dalam aksi pusingan pertama di Council Bluffs, Iowa, hari ini.

Letshanaa yang menghuni ranking ke-50 dunia hanya memerlukan dua set untuk menewaskan pemain pilihan kelapan dari Jepun itu 21-8, 21-19 dalam tempoh 36 minit.

Walaupun Okuhara yang pernah bergelar pemain No. 1 dunia dan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 kini tidak lagi berada di kemuncak prestasi, kemenangan itu tetap menjadi pencapaian gemilang buat Letshanaa.

Sementara itu, satu lagi pemain perseorangan wanita, Wong Ling Ching turut melakar kejutan apabila menewaskan pemain pilihan keempat, Hsu Wen Chi dari Taiwan 21-17, 19-21, 22-20 dalam pertarungan sengit selama 66 minit.

Kemenangan itu merupakan antara pencapaian terbaik dalam karier pemain ranking ke-96 dunia itu, yang kali terakhir mara ke suku akhir kejohanan Super 300 di Antarabangsa Syed Modi 2023.

Letshanaa akan berdepan cabaran pemain India, Aakarshi Kashyap yang kini berada di ranking ke-49 dunia, manakala Ling Ching bakal menentang Kaloyana Nalbantova dari Bulgaria yang menduduki tangga ke-75 dunia pada aksi pusingan kedua esok.

Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menepati ramalan apabila menyingkirkan pemain Belgium, Julien Carraggi 21-10, 21-10 dalam masa hanya 27 minit.

Justin yang kini di ranking ke-43 dunia akan berdepan pemain Taiwan, Liao Jhuo Fu di pusingan kedua bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN