Letshanaa gagal ke separuh akhir Terbuka AS

Letshanaa gagal ke separuh akhir Terbuka AS

K. LETSHANAA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat perseorangan wanita negara, K. Letshanaa beraksi konsisten dan mara ke separuh akhir tidak kesampaian selepas dia tersingkir pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Iowa, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu tewas kepada Tanvi Sharma dari India 13-21, 16-21 dalam masa 33 minit.

Kekalahan itu menyaksikan tiada wakil Malaysia yang akan beraksi di separuh akhir selepas dua lagi pemain negara yang turut beraksi pada kejohanan berstatus Super 300 tersebut iaitu Justin Hoh dan Wong Ling Ching terkandas seawal pusingan kedua.

Letshanaa yang menghuni ranking ke-50 dunia belum pernah mara sehingga ke separuh akhir dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan kegagalan tersebut menyaksikan dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu pada kejohanan berikut.

Selepas ini, fokus ketiga-tiga pemain muda tersebut beralih ke Terbuka Kanada yang bermula minggu depan dan mereka perlu mempamerkan prestasi yang lebih baik jika mahu melihat perubahan positif pada ranking dunia masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah belajar beraksi konsisten dalam setiap kejohanan disertai mereka memandangkan Malaysia kini ketandusan pemain perseorangan yang mampu menghadirkan cabaran sengit di pentas antarabangsa.

Leong Jun Hao yang menghuni ranking No. 25 dunia kini merupakan pemain perseorangan lelaki No. 1 negara ekoran bekas bintang No. 8 dunia, Lee Zii Jia mengalami kejatuhan ranking ke tangga No. 28 dunia selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Untuk perseorangan wanita pula, pemain profesional negara, Goh Jin Wei masih menyandang status selaku No. 1 Malaysia dengan ranking ke-44 dunia, manakala, Letshanaa berada di belakangnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN