ALOR GAJAH : Hasrat seorang pemilik untuk melakukan ibadah korban sempena Aidiladha bertukar duka apabila lembu miliknya dipercayai hanyut dan hilang di perairan Pantai Tanjung Bidara di sini malam tadi.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.40 malam itu tular di media sosial menerusi dua klip video pendek yang memaparkan suasana cemas pasukan penyelamat dan penduduk tempatan cuba mengesan haiwan berkenaan.
Difahamkan, lembu itu pada awalnya berada di tepi pantai dengan tali masih terikat di leher, namun terlepas dan terus berenang ke tengah laut sebelum hilang dari pandangan.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.42 malam sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan kami bersama penduduk cuba mengepung kawasan pantai, namun lembu itu dipercayai terus hanyut dan gagal dikesan semula.
“Operasi mencari ditamatkan selepas keadaan laut gelap menyukarkan pencarian, selain lembu tersebut tidak lagi kelihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kehilangan lembu berkenaan sekali gus menyebabkan pemiliknya terpaksa reda dan berputih mata kerana tidak dapat menunaikan ibadah korban seperti dirancang.
Dalam video tular berdurasi 41 saat dan 13 saat itu, kelihatan pasukan APM bersama orang awam meninjau kawasan pantai, manakala lembu yang pada mulanya dilihat di gigi air, didakwa kemudian terus hilang dipercayai lemas.
Orang ramai yang menonton video berkenaan turut meluahkan rasa simpati dan menganggap kejadian itu sebagai satu ujian besar menjelang Aidiladha.-UTUSAN