‘Kalau mengaku kena saman’

‘Kalau mengaku kena saman’

LEMBU berkeliaran di jalan raya ketika tinjauan di Jalan Chikus- Langkap dekat Teluk Intan, baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Tahun lepas dan tahun ini saja, tujuh ekor lembu saya mati kena langgar. Apabila jadi macam itu, siapa nak tanggung? Kalau mengaku itu haiwan kami, takut pula kena saman.”

Itu pengakuan seorang penternak lembu di Langkap dekat sini yang mengaku, melepaskan ternakannya untuk mencari makanan di kawasan hutan hingga ada yang memasuki jalan raya dan terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, dia memiliki 46 ekor lembu yang dilepaskan setiap pagi di kawasan hutan bagi mencari makanan.

“Kalau hendak bagi makan dalam kandang, kami tidak cukup tenaga kerja untuk potong dan angkut rumput dari hutan. Lembu dilepaskan supaya boleh cari makan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, yang turut mengakui beberapa ekor lembunya pernah mati akibat dilanggar kende­raan.

Penternak berkenaan berharap pihak berkuasa dapat menyediakan kawasan padang ragut khas bagi memudahkan penternak mengawal ternakan mereka.

Sementara itu, polis mengi­ngatkan penternak di daerah ini agar tidak membiarkan haiwan ternakan mereka khususnya lembu berkeliaran di jalan raya kerana tindakan itu boleh me­ngundang kemalangan maut terhadap pengguna.

Ketua Polis Daerah Hilir Pe­rak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima banyak aduan kemalangan jalan raya melibatkan haiwan ternakan sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 131 kemalangan jalan raya melibatkan haiwan seperti lembu direkodkan dari Januari hingga Disember 2024, dengan seorang maut dan dua cedera ringan.

“Manakala dari Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 138 kes direkodkan, termasuk satu kematian, satu cedera parah dan satu cedera ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, antara kes dilaporkan termasuk kemalangan maut membabitkan penunggang sebuah motosikal yang melanggar lembu di Jalan Kampung Gohong, Langkap pada tahun lalu.

Bakri berharap penternak le­bih bertanggungjawab dalam menjaga ternakan masing-ma­sing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta tindakan undang-undang.

“Penternak perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan haiwan peliharaan tidak berkeliaran di jalan raya. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang cuai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN