JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura ditahan kerana disyaki menendang sebuah kereta di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu daripada pemilik kenderaan berkenaan berusia 31 tahun pada pukul 3.01 petang dan suspek yang berusia 40 tahun berjaya ditahan pukul 6.20 petang, semalam.
“Pengadu memaklumkan ketika sedang memandu kenderaan jenis BMW di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, sebuah Toyota Altis nombor pendaftaran Singapura membunyikan hon beberapa kali dipercayai tidak berpuas hati kerana menghalang laluan.
“Susulan itu, berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan suspek, sebelum suspek bertindak menendang kereta pengadu sehingga mengakibatkan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, tiada pihak yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan kehormatan seseorang. – UTUSAN