PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited dalam usaha pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar melalui Sambutan Hari Organik Peringkat MBPJ 2025 hari ini.
Sempena sambutan itu yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang SS2 di sini, MBPJ mengagihkan anak pokok secara percuma kepada 50 pengunjung, simbolik kepada kempen kesedaran alam sekitar.
Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, penganjuran program bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kesan gaya hidup dan pemakanan moden terhadap kesihatan.
“Sambutan Hari Organik ini bukan sekadar program jualan produk organik tetapi sebagai satu platform untuk mendidik masyarakat tentang rutin kehidupan yang sihat. la selari dengan aspirasi MBPJ dalam menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya rendah karbon, rendah sisa dan berdaya tahan menjelang 2030,” katanya ditemui pada majlis itu, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, walaupun makanan organik semakin diamalkan dalam masyarakat, namun 99 peratus rakyat Malaysia masih tidak mengambil peduli sama ada sayuran atau buah yang dibeli adalah organik atau sebaliknya.
Program anjuran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ dengan kerjasama Centre for Environment, Technology and Development Malaysia (CETDEM) telah menghimpunkan ratusan pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
MBPJ turut memperkenalkan usahanya dalam menguruskan sisa bahan buangan melalui Smart PJ Waste Solution Lab kepada pengunjung yang hadir.
Program tersebut turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pertanian jimat air, pengurusan perosak semula jadi, rawatan ekzema serta sesi dialog terbuka melibatkan petani dan agensi berkaitan. – UTUSAN











