KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai kontrak baharu Pearly Tan-M. Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka terjawab sebelum Terbuka Jepun bermula 15 Julai ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan bersama beregu wanita utama negara itu sudah hampir dimuktamadkan.
“Kita bersetuju Pearly-Thinaah akan terus memainkan peranan penting dalam badminton negara. Perbincangan tinggal satu, dua isu saja dan akan diumum sebelum Terbuka Jepun,” kata Zafrul pada sidang media selepas sesi libat urus bersama pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.
Bagaimanapun, Zafrul turut mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju dengan garis masa yang ditetapkan bagi memuktamadkan kontrak baharu tersebut.
Mengulas dakwaan mereka mahukan ganjaran lebih tinggi, Zafrul menjelaskan pendekatan bayaran berasaskan prestasi sedang diperhalusi bersama BAM.
“Kalau mereka lebih berjaya, kita patut beri ganjaran lebih. Apa yang penting kita nilai sumbangan mereka dengan adil,” katanya. – UTUSAN