KANGAR: Isu kesesakan di bandar ini sejak semalam bukan berpunca daripada masalah sistem palang parkir pintar sebalikya terdapat pengguna yang tidak membuat pembayaran sebelum keluar.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, pengguna terlibat didapati tidak membuat pembayaran ketika ingin keluar dan menyebabkan palang tersebut tidak dibuka sekali gus mengakibatkan kesesakan di kawasan itu.
“Kita kalau boleh galakkan pengguna untuk menggunakan aplikasi kerana ia akan melancarkan proses ketika mereka ingin keluar tanpa perlu membuka tingkap dan sebagainya.
“Dan jika pengguna tidak mahu muat naik aplikasi itu pun, pembayaran juga boleh dibuat di kedai-kedai ejen sekitar kawasan meletakkan kenderaan untuk memudahkan proses sewaktu ingin keluar,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, tular video dan foto di laman sosial memaparkan kesesakan yang dikatakan berpunca daripada pelaksanaan sistem parkir tanpa tunai itu.
Untuk rekod, pelaksanaan sistem parkir pintar merupakan sebahagian daripada inisiatif MPK ke arah kemajuan di negeri ini malah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi jaminan bahawa pelaksanaannya tidak akan mengundang kesesakan seperti dibangkitkan sesetengah pihak di media sosial.
Dalam pada itu, Affendi berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan sistem baharu itu berjalan lancar walaupun terdapat beberapa isu terpencil yang akan diambil tindakan segera.
“MPK juga mengucapkan terima kasih kepada kebanyakan penduduk Perlis yang memberi kerjasama dan kita juga akan mengatasi isu-isu terpencil dibangkitkan sebelum ini,” katanya.
Affendi berkata, MPK telah melantik 11 ahli majlis baharu bagi tempoh berkuatkuasa semalam sehingga 31 Disember 2027.
Katanya, pelantikan tersebut juga menjadikannya jumlah keseluruhan ahli majlis MPK adalah seramai 21 orang.
“Pemilihan nama-nama ahli majlis terlibat dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini,” katanya. – UTUSAN