PETALING JAYA: Kerjaya sebagai pemandu bas dan lori perlu distruktur semula secara menyeluruh dengan pengawalseliaan khas, pensijilan berkala serta skim latihan profesional bagi mengangkat status kerjaya itu.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, kerjaya pemandu kenderaan berat berisiko tinggi dan wajar dikawal selia oleh badan khas seperti institut profesional.
“Kewujudan badan khas ini boleh menetapkan standard latihan, pensijilan dan etika kerja, sekali gus meningkatkan reputasi kerjaya ini di mata masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pensijilan berkala dan pemeriksaan kesihatan mental serta fizikal perlu diwajibkan sekurang-kurangnya setiap dua tahun untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Pemandu berdepan risiko tekanan kronik, gangguan tidur dan penyalahgunaan bahan. Ini semua faktor yang boleh menyumbang kepada kemalangan jika tidak dikesan lebih awal,” katanya.
Menurutnya, modul pengurusan tekanan, latihan etika dan pengendalian konflik pelanggan juga perlu dimasukkan dalam latihan Lesen Vokasional GDL dan PSV secara sistematik dan menyeluruh.
“Pemandu berdepan tekanan seperti jadual ketat, trafik sesak dan tuntutan syarikat. Mereka perlu ada kemahiran mengawal emosi serta berinteraksi secara berhemah dengan pelanggan,” katanya.
Antara cadangan beliau termasuk menetapkan gaji asas minimum serta insentif berdasarkan prestasi keselamatan seperti bonus tanpa kemalangan dan penilaian sikap berhemah semasa pemanduan.
“Manfaat sampingan seperti insurans kesihatan dan cuti bergaji juga penting untuk mengurangkan tekanan kewangan yang mendorong kepada perlumbaan mengejar trip secara bahaya,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan profesion itu dipromosikan sebagai kerjaya profesional dengan laluan kerjaya jelas, termasuk peluang kenaikan pangkat sebagai jurulatih atau pengurus logistik.
“Latihan tambahan seperti asas mekanik dan teknologi telematik boleh ditawarkan melalui kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) menerusi program diploma pengangkutan berbayar,” katanya lagi.
Tambah beliau, skim latihan bertahap perlu diperkenal dengan pelan kenaikan pangkat mengikut tahap pengalaman, prestasi dan kelayakan audit keselamatan dalaman dalam syarikat pengangkutan.
Dalam pada itu, untuk mengatasi isu pemandu ‘berlumba’, beliau mencadangkan larangan sistem komisen untuk mewujudkan gaji asas yang kukuh, pemasangan teknologi telematik, sistem pengagihan trip secara adil dan saluran aduan khusus.
“Black box perlu dipasang bagi memantau kelajuan dan masa rehat. Syarikat yang gagal patuhi garis panduan ini mesti dikenakan tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN








