Nombor plat pendaftaran untuk basikal, selesaikah masalah ? - Utusan Malaysia

Nombor plat pendaftaran untuk basikal, selesaikah masalah ?

Selamatkah basikal ada nombor pendaftaran ?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun pemberian lesen dan nombor plat pendaftaran kepada penunggang basikal dilihat suatu perkara positif untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya, ia mungkin sukar untuk dilaksanakan.

Ini kerana menurut Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Dr. Law Teik Hua, jumlah basikal di Malaysia terlalu banyak dan ia bukan dikira sebagai kenderaan utama yang digunakan di negara ini.

“Secara asasnya, nombor plat pendaftaran ini hanya diberikan kepada kenderaan bermotor sahaja seperti kereta dan motor. Namun jika ingin diberikan kepada pengguna basikal, kajian perlu dibuat secara lebih mendalam.

“Jika ingin mengambil contoh dari luar negara sekalipun, ia harus relevan. Maksud saya basikal di Malaysia ini terlalu banyak, basikal moden, basikal di kampung, jadi adakah kesemua ini perlu didaftarkan bagi mendapatkan nombor plat? Pasti ramai yang akan menentangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan akhbar ini tentang kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai keperluan lesen dan nombor plat bagi penunggang basikal.

Ketua Pengarahnya, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.

Bagaimanapun jelas Teik Hua, pelaksanaan lesen dan nombor plat pendaftaran boleh dilakukan secara berperingkat dan boleh dikenakan kepada basikal elektrik (e-bike) kerana ada antara masyarakat yang menggunakannya sebagai kenderaan harian.

“Kenderaan ini melibatkan elektrik, kelajuannya boleh mencecah 40 kilometer (km) ke 50 km sejam bergantung kepada tahap keupayaan basikal elektrik tersebut. Jadi apabila mereka menggunakannya seperti ke pejabat, ia terdedah dengan kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×