KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memberikan keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh merujuk lapan persoalan berhubung kekebalan seorang Perdana Menteri daripada sebarang tindakan saman, pada esok.
Rujukan persoalan itu berkait kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.
Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat pada prosiding yang dijalankan dalam kamar hakim di sini.
Pada prosiding hari ini, Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Anwar diwakili peguam, Alan Wong Teck Wei.
Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang itu difailkan kira-kira dua minggu sebelum saman itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan kes bermula 16 Jun ini.
Saman dakwaan serangan seksual itu juga difailkan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021, kira-kira setahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh Anwar melalui firma peguam yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Ahli Parlimen Tambun itu antara lain memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Menurut saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff, serangan seksual terhadapnya berlaku pada pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini.
Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.
Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.
Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.
Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.
Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN