KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bersedia membawa pulang seramai 26 rakyat Malaysia keluar dari Iran sekiranya diperlukan, berikutan konflik antara negara itu dengan Israel.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana.
Katanya, sebarang usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di luar negara lazimnya dikelola oleh Kementerian Luar.
“Bagaimana cara (membawa pulang rakyat) dan apa semua, saya percaya mereka (Kementerian Luar) memikirkan. Sebab tidak semua kapal terbang boleh masuk ke Iran.
“Kita (Kementerian Pertahanan) bersedia (untuk) menerima apa-apa arahan daripada kerajaan jika ada apa-apa keputusan yang dibuat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59 di sini, hari ini.
Proses membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dilaksanakan esok.
Mohamed Khaled berkata, misi membawa pulang rakyat tidak semestinya menggunakan kapal-kapal terbang milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kalau ada pun mengenai itu, ia akan diusahakan tidak semestinya melalui tentera. Dalam konteks ini, lebih baik kapal-kapal terbang tentera tidak masuk, sebab nanti (mereka) ingat tentera datang nak bantu mana-mana negara,” katanya.
Kata Mohamed Khaled, anggota Batalion Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-12 yang berada di Lubnan berada dalam keadaan selamat.
“Tetapi apa-apa pun, kita memang sentiasa ada hubungan berterusan. Kalau ada apa-apa, tentu kita akan dimaklumkan dan kita akan ambil tindakan-tindakan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN