GEORGE TOWN: Keluarga dua pelancong warga China, Liu Zhu, 69, dan Liu Xin Xin, 36, yang maut dalam insiden pokok tumbang menghempap kereta, September tahun lalu, hari ini bertindak memfailkan saman terhadap enam pihak.
Mereka menamakan Pinang Peranakan Mansion Sdn Bhd selaku pengendali muzium tempat kejadian berlaku, SSM Capital Sdn Bhd (pemilik tanah muzium), Sri Kumaran’s Textile Sdn Bhd (pemilik bangunan jiran), Pony Holiday Sdn Bhd (syarikat pelancongan subkontrak); Har Kwai Leng (pemandu mangsa) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai defendan.
Pada masa yang sama, mereka turut menuntut permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat serta pampasan berjumlah RM1.7 juta sebagai ganti rugi am, khususnya atas kehilangan tanggungan kerana kedua-dua mangsa merupakan pencari nafkah utama keluarga, serta ganti rugi khas.
Saman itu difailkan oleh Yang Xue Li, 69, iaitu isteri kepada Liu Zhu dan ibu kepada Xin Xin, serta Wang Geng Feng, 41, yang juga suami kepada mendiang Xin Xin menerusi peguam mereka, Ng Kian Nam di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melalui sistem e-filing, hari ini.
Menurut Kian Nam, asas utama tuntutan itu adalah berdasarkan Tort, Akta Sivil, pelanggaran tanggungjawab dengan hujah bahawa tragedi ini tidak akan berlaku sekiranya pihak-pihak berkenaan mengambil langkah-langkah asas dan munasabah bagi menyelenggara pokok serta memastikan keselamatan kawasan letak kereta di muzium tersebut ketika itu.
Beliau berkata, kes tersebut diambil secara pro bono atas kepentingan awam bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya aspek keselamatan kawasan awam di Malaysia, memelihara reputasi sektor pelancongan Pulau Pinang serta Malaysia dan atas rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang tidak berdaya.
“Keluarga mangsa meluahkan rasa kesal kerana pihak berkuasa termasuk polis, kerajaan tempatan dan Kementerian Pelancongan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak-pihak yang dinamakan sehingga ke hari ini, sama ada di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kerajaan Tempatan atau statut berkaitan yang lain.
“Malah, tiada siasatan rasmi dijalankan atau sebarang usaha untuk memanggil keluarga mangsa bagi menentukan sama ada ia merupakan perbuatan manusia atau bencana alam. Jelas sekali tiada ketelusan awam atau akauntabiliti kepada keluarga mangsa dan masyarakat umum,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, defendan mempunyai masa 14 hari untuk memasukkan kehadiran selepas menerima writ saman serta pernyataan tuntutan dan sekiranya mereka gagal memfailkan pernyataan pembelaan dalam masa 14 hari, maka, plaintif boleh memfailkan penghakiman ingkar.
Sementara itu, Geng Feng ketika sidang akhbar yang dijalankan secara dalam talian berkata, mereka tiada mempunyai pilihan selain mengambil tindakan undang-undang terhadap keenam-enam pihak berkenaan untuk memikul tanggungjawab.
“Ini kerana, maklum balas yang diterima daripada pihak-pihak tersebut tidak menunjukkan sebarang keprihatinan, rasa tanggungjawab mahupun usaha untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Dalam hal ini, hanya pihak Sri Kumaran dan pihak berkuasa tempatan atau PBT (merujuk kepada MBPP) yang memberikan respon terhadap surat tuntutan yang dihantar pada bulan Januari yang lalu,” katanya. – UTUSAN