Kedaulatan makanan negara tidak boleh diperdagangkan

Kedaulatan makanan negara tidak boleh diperdagangkan

NURFITRI AMIR MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) membantah sebarang usaha memasukkan penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991) dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, khususnya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA).

Ketua Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, syarat tersebut terkandung dalam teks rundingan MEEPA, khususnya Artikel 3.3 dalam Lampiran XIX mengenai harta intelek, yang merupakan peruntukan ‘TRIPS+’.

Katanya, ia telah melampaui komitmen Malaysia di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan boleh menjejaskan hak petani serta keselamatan makanan negara.

“UPOV 1991 adalah satu sistem perlindungan hak pembiak baka yang terlalu ketat dan lebih menguntungkan syarikat besar dari negara maju. 

“Ia akan menghakis hak petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih hasil tanaman mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurfitri Amir berkata, kira-kira 33.5 peratus petani padi di Kedah dan Perak serta sebahagian besar di Sabah dan Sarawak, masih bergantung kepada amalan tradisional dalam pengurusan benih untuk menjimatkan kos dan menjamin kelangsungan hasil.

“Jika UPOV 1991 diterima, hak ini akan terhapus. Ia juga akan mewujudkan monopoli pasaran benih oleh syarikat multinasional sehingga 20 ke 25 tahun.

“Ia akan menyebabkan kenaikan harga benih dan pengurangan kepelbagaian varieti tanaman tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, sistem pertanian negara tidak sesuai dengan model UPOV yang bersifat tidak fleksibel dan tidak mengambil kira realiti petani kecil, seperti yang diperakui dalam beberapa kajian antarabangsa termasuk oleh kerajaan Jerman.

Katanya, Malaysia tidak perlu tunduk kepada UPOV 1991 kerana telah mempunyai sistem perlindungan varieti tumbuhan tersendiri yang seimbang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004 (Akta PNVP 2004).

“Akta ini bukan sahaja melindungi hak pembiak baka tetapi turut mengiktiraf hak petani tempatan untuk menggunakan, menyimpan dan berkongsi benih. 

“Malah, sebanyak 63.31 peratus permohonan perlindungan varieti datang daripada entiti asing termasuk institusi penyelidikan luar negara. Ini menunjukkan keyakinan terhadap sistem Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, tuntutan EFTA agar Malaysia menyertai UPOV 1991 juga dilihat tidak konsisten, memandangkan tidak semua anggotanya merupakan ahli kepada perjanjian tersebut. 

“Contohnya, Norway bukan ahli kepada Akta UPOV 1991, manakala Liechtenstein tidak menyertai mana-mana versi konvensyen UPOV.

“Mengapa Malaysia ditekan untuk mematuhi UPOV 1991 sedangkan ada negara anggota EFTA sendiri tidak mengamalkannya? Tambahan pula, dalam perjanjian EFTA dengan Thailand dan India, tiada syarat sedemikian dikenakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk menolak sepenuhnya penyertaan ke dalam UPOV 1991 dalam rundingan MEEPA dan semua FTA lain serta mengeluarkan segera semua rujukan kepada UPOV dalam teks perjanjian.

Selain itu, kerajaan perlu mempertahankan Akta PNVP 2004 sebagai sistem perlindungan yang adil dan sesuai untuk negara dan tidak meminda undang-undang tersebut hanya kerana tekanan perjanjian perdagangan.

“Rundingan perdagangan tidak boleh dijalankan secara tertutup tanpa perundingan awam atau penelitian Parlimen. 

“Kedaulatan makanan negara dan hak petani tempatan tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN