KUALA LUMPUR: Jangka hayat rakyat Malaysia kini menunjukkan peningkatan yang ketara daripada sekitar 54 tahun pada 1950-an kepada 75 tahun dan dijangka mencecah 81 tahun menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perkara itu menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi tahun mendatang dari segi kewangan, kesihatan dan sokongan sosial.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa. Tetapi jika rakyat tidak bersedia, umur panjang boleh menjadi beban, bukan nikmat.
“Kita tidak boleh hanya meraikan umur yang semakin panjang tetapi perlu memastikan kualiti hidup juga meningkat. Ini termasuk akses kepada penjagaan kesihatan dan pendapatan selepas persaraan yang mencukupi.
“Kami komited untuk membantu rakyat bersedia menghadapi realiti baharu ini melalui pemodenan sistem persaraan dan peluasan liputan kepada golongan pekerja tidak formal,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa ke-12 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata, kehidupan lebih panjang perlu disertai dengan persediaan rapi, termasuk simpanan persaraan mencukupi, kesihatan yang baik, persekitaran dan peluang untuk terus menyumbang secara aktif dalam masyarakat.
“Kita tidak mahu rakyat hidup lama dalam keadaan uzur, terpinggir atau bergantung penuh kepada bantuan.
“Sistem perlindungan sosial, dasar pekerjaan dan infrastruktur kesihatan awam negara perlu ditransformasi untuk bersesuaian dengan keperluan baharu masyarakat yang semakin menua,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, KWSP kini sedang memacu agenda reformasi untuk memastikan sistem persaraan tidak ketinggalan zaman, termasuk memperkenalkan penyelesaian lebih relevan dengan gaya hidup moden.
Katanya, semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan rakyat perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat yang benar-benar bersedia untuk menghadapi kehidupan hingga usia 100 tahun.
“Dunia pekerjaan hari ini berubah. Pekerja berpindah sektor, menambah kemahiran dan ada yang bekerja sambilan atau secara bebas. Sistem kita mesti pantas untuk menyesuaikan diri,” katanya. – UTUSAN