'Jambatan sementara Pulau Silikon bantu percepatkan kerja tambakan'

‘Jambatan sementara Pulau Silikon bantu percepatkan kerja tambakan’

CHOW Kon Yeow (depan) ketika meninjau jambatan besi sementara yang menghubungkan daratan ke Pulau Silikon di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jambatan besi sementara sepanjang 378 meter yang menghubungkan daratan ke Pulau Silikon kini siap sepenuhnya dan telah mula beroperasi bagi mempercepatkan pembangunan pulau buatan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jambatan sementara itu dibina sejak Ogos 2024 dan siap Mac lalu untuk menyediakan akses lebih efisien kepada jentera berat, pekerja dan pihak berkepentingan.

“Sebelum ini, akses ke tapak tambakan memerlukan penggunaan bot dari Batu Maung ke Pulau Rimau. Kini, dengan jambatan ini, kerja-kerja pembinaan dan infrastruktur menjadi lebih lancar,” katanya selepas melawat tapak projek tersebut, hari ini.

Kemudahan komuniti baharu dikenali sebagai Medan Selera Matang akan dibangunkan di Permatang Damar Laut, menghadap Pulau Silikon.

Pembangunan seluas 0.8 hektar itu akan menempatkan dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan, restoran dan gerai makanan, serta bangsal untuk kegunaan nelayan.

Kon Yeow berkata, bagi menyokong keperluan air Pulau Silikon, sebuah tangki sedutan dan rumah pam turut akan dibina bersebelahan medan selera.

Katanya, projek tersebut dijangka bermula pada suku ketiga 2025 dan siap menjelang akhir 2027, dengan kos keseluruhan dianggarkan RM36 juta.

“Reka bentuk kemudahan itu akan diselaraskan dengan visi pembangunan Pulau Silikon sebagai hab teknologi dan ekonomi baharu.

“Pembinaan jejambat marin sepanjang 380 meter dari daratan ke Pulau Silikon dijadual bermula bulan ini dengan fasa pertama dijangka siap pertengahan 2027, manakala keseluruhan projek dijangka siap menjelang Disember 2028,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN