IRFC, Takeda bekerjasama tangani wabak denggi

IRFC, Takeda bekerjasama tangani wabak denggi

MAJLIS pelancaran `United Against Dengue (UAD)’, kerjasama Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Asia Pasifik dengan Takeda untuk pencegahan dan pengurusan wabak denggi di rantau Asia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Asia Pasifik berganding bahu dengan syarikat farmaseutikal Takeda, melancarkan `United Against Dengue (UAD)’, kerjasama jangka panjang untuk mengukuhkan pencegahan dan pengurusan wabak denggi di seluruh rantau Asia.

Inisiatif yang dilancarkan sempena Hari Denggi ASEAN itu bertujuan menyokong matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ASEAN untuk menghapuskan kematian akibat denggi yang boleh dicegah menjelang 2030.

Timbalan Pengarah Serantau Asia Pasifik IFRC, Juja Kim berkata, UAD berhasrat memperkasakan komuniti di seluruh Asia agar lebih peka terhadap kesihatan dan bersatu menentang denggi.

“Fokus kami adalah mendidik komuniti, menggalakkan langkah pencegahan denggi yang mampan serta membantu individu dan komuniti terjejas dengan penjagaan dan sokongan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Kawasan India & Asia Tenggara Takeda, Dion Warren berkata, komitmen syarikat itu adalah untuk memperkukuhkan daya tahan komuniti dengan meningkatkan literasi mengenai denggi.

Mengulas lanjut, kerjasama UAD dibina berdasarkan tiga teras utama iaitu pendidikan, advokasi dan sokongan.

“Inisiatif ini menyokong dan melengkapi usaha sedia ada pihak awam dan komuniti dalam memerangi denggi secara kolektif,” katanya.

Sebagai usaha awal, UAD telah bekerjasama dengan platform komik popular The Woke Salaryman menghasilkan kandungan pendidikan berbentuk komik yang akan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.

Komik itu mula-mula diterbitkan dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan ke bahasa Malaysia, Sepanyol dan Perancis untuk memperluas capaian.

Dalam pada itu, menurut data IDENGUE Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga 24 Mac 2025, sebanyak 14,310 kes denggi telah direkodkan dengan 16 kematian.

Pakar Kesihatan Awam Kawalan Penyakit Wakil WHO untuk Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Deepa Gamage berkata setiap individu mempunyai peranan dalam memerangi denggi.

“WHO menyambut baik pendekatan kreatif ini dalam menyampaikan maklumat kepada komuniti Asia Pasifik. 

“Kita sama-sana mampu untuk merealisasikan matlamat sifar kematian akibat denggi menjelang 2030,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Asia Dengue Voice and Action, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail pula berkata, keperluan tindakan bersama pelbagai pihak di peringkat serantau dan tempatan adalah penting untuk kemajuan di masa hadapan.

“Kerjasama pelbagai pihak adalah kunci memastikan kemajuan berterusan dan melindungi golongan berisiko daripada ancaman denggi,” katanya.

Inisiatif UAD itu akan dilaksanakan di seluruh Asia Tenggara dan negara lain dengan pelbagai program tambahan di peringkat serantau dan tempatan bagi memupuk tindakan kolektif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN