PERLAWANAN menentang Vietnam pada Selasa ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bukan sekadar aksi kelayakan biasa, ia adalah pertarungan hidup mati buat Harimau Malaya dalam misi ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir dan kekalahan atau seri di laman sendiri bakal menyukarkan impian Malaysia.
Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal, manakala Vietnam membelasah Laos 5-0.
Kedua-dua pasukan kini berkongsi tiga mata, menjadikan pertembungan ini penentu kedudukan teratas kumpulan kelak.
Kegagalan dalam pusingan ini bukan sahaja menjejaskan peluang ke Piala Asia 2027, tetapi juga bermakna Malaysia akan terlepas peluang untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif antarabangsa yang penting sehingga tahun 2027.
Ini akan memberi kesan negatif kepada pembangunan pasukan dan pengalaman pemain di peringkat antarabangsa.
Tambahan pula, Malaysia sedang dalam proses pembinaan semula pasukan dengan pengambilan pemain warisan dan pelantikan jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
Kegagalan untuk melayakkan diri akan melemahkan momentum pembaharuan ini dan menjejaskan keyakinan penyokong serta pelabur dalam pembangunan bola sepak negara.
Cklamovski, yang dilantik pada Disember 2024 dan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari 2025, membawa visi moden dengan pendekatan taktikal 4-3-3 defensif.
Beliau berpengalaman luas, termasuk menjadi penolong jurulatih ketika membantu Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan membimbing Yokohama F. Marinos menjuarai J1 League 2019.
Cklamovski kini mengemudi skuad yang terdiri daripada pemain tempatan, warisan, dan naturalisasi.
Antara pemain warisan terkini ialah Facundo Garces (bek tengah, Deportivo Alaves), Imanol Machuca (sayap kanan, Velez Sarsfield), Rodrigo Holgado (penyerang, America Cali), Jon Irazabal (pertahanan, Sabah), Joao Figueiredo (penyerang, Istanbul Basaksehir).
Vietnam, di bawah bimbingan Kim Sang Sik, membawa barisan pemain berpengalaman dan naturalisasi, mereka menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata di Kuala Lumpur sebelum aksi timbal balik di Hanoi.
Clamovski sedar hakikat kali terakhir Malaysia merakam kemenangan ke atas Vietnam lebih 10 tahun lalu menerusi skuad bimbingan Datuk Dollah Salleh.
Skuad itu, dianggotai pemain seperti Shukor Adan, Safiq Rahim, Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha, merakam kemenangan 4-2 pada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi, setelah tewas pada separuh akhir pertama di Bukit Jalil dalam laluan ke final Piala AFF 2014.
Sejak itu, sama ada dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, Nelo Vingada, Tan Cheng Hoe dan Kim Pan Gon, layar kemenangan tidak pernah memihak kepada Malaysia.
Impak Tunku Mahkota Ismail bina wajah baharu skuad Harimau Malaya.
Dengan kombinasi gabungan anak watan, pemain warisan dan tenaga naturalisasi, anak buah Clamovski dituntut mencipta magis tersendiri.
Tidak boleh menafikan aura dan tanggungjawab Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam kebangkitan bola sepak negara, termasuk pembangunan fasiliti dan pencarian pemain warisan gred A.

Cetusan idea dan gerakan kerja dilakukan Tunku Mahkota Ismail dalam revolusi Harimau Malaya bukanlah sekadar ‘tin kosong’ namun beliau mengotakan setiap apa yang dijanjikan kepada peminat bola sepak Malaysia.
Penglibatan Tunku Mahkota Ismail dalam membina revolusi Harimau Malaya menunjukkan bertapa tingginya impian beliau untuk memastikan bola sepak negara mampu mencipta kejayaan di peringkat Asia dan juga dunia.
Dengan gerombolan kumpulan pemain warisan dari Latin Amerika, Clamovski memiliki kekuatan mempelbagaikan pilihan taktikal.
Sesungguhnya, Harimau Malaya memerlukan kehadiran ‘pemain ke-12’ di stadium
Anda, penyokong setia yang jatuh bangun bersama Harimau Malaya, hadirlah untuk membakar semangat dan memberi tekanan kepada lawan.
Sorakan padu anda bersama Ultras Malaya dan seluruh rakyat Malaysia ditagih untuk mengisi setiap sudut tempat duduk stadium dengan ngauman dan laungan keramat Harimau Malaya.
Setakat ini, 21,005 tiket telah terjual, namun masih banyak tempat duduk kosong dalam stadium yang berkapasiti 88,000 penonton.
Kehadiran anda amat penting untuk mencipta suasana yang menggegarkan dan memberi kelebihan kepada pasukan kita.
Perlawanan ini adalah ujian sebenar buat Harimau Malaya, kemenangan akan membuka laluan ke Piala Asia 2027, manakala kegagalan boleh memadam harapan dan merudumnya prospek pasukan menghadapi 2026 yang hambar.
Anda tiada pilihan lain selain memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, sempurnakan tanggungjawab anda.
Hulurkan sokongan padu kepada skuad negara, tanpa mengira sama ada mereka lahir di Utara, Timur, Lembah Klang, Selatan, Sabah, Sarawak mahupun Buenos Aires. Datanglah ke stadium Demi lencana di dada!-UTUSAN